PENULARAN jangkitan HIV di kalangan pemuda di Malaysia amat membimbangkan berdasarkan pandangan Majlis AIDS Malaysia (MAM).

Setiausaha Kehormat MAM, Hisham Hussein berkata, transmisi jangkitan melalui seks bebas tanpa kondom menjadi penyumbang utama penularan HIV di kalangan pemuda di negara ini.

Menurutnya, tahun lalu sahaja, peratusan penghidap HIV dalam lingkungan umur 13 hingga 29 menunjukkan trend peningkatan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Katanya, MAM menjangkakan bahawa jumlah itu akan bertambah tahun ini jika kesedaran terhadap HIV dan AIDS tidak dipandang serius oleh masyarakat.

Hisham berkata, berdasarkan kajian oleh beberapa badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah gabungan MAM, ia mendapati punca utama penularan HIV di kalangan pemuda adalah kerana kurang pendidikan.

“Masalah utama adalah pendidikan. Ia penting supaya golongan remaja perlu tahu apa yang boleh dan tidak boleh di buat.

“Sudah tentu, kita punya pendirian, jangan buat seks bebas selagi tidak kahwin. Tetapi kita tahu manusia. Kita bukan menggalakkan, tapi kalau terpaksa atau nak juga, guna kondom,” katanya.

Beliau berkata, tugas untuk mendidik golongan muda seawal remaja terhadap bahayanya HIV perlu dilakukan oleh semua pihak.

“Pendidikan itu melibatkan semua. Kita kena terima hakikat. Ibu bapa perlu bercakap. Sekolah juga perlu main peranan.

“Sebaik-baik pendidikan itu adalah di sekolah. Kita mengajar bukan beri galakan tapi sebagai memberi peringatan, pengajaran tanpa seks selamat akan memberi kemudaratan,” katanya.

Dalam pada itu, Hisham menjelaskan kempen yang dilakukan pada hari ini tidak sampai di kalangan remaja kerana terlampau banyak larangan dalam kempen itu sendiri.

“Dalam kempen kita tidak boleh sebut secara terus. Vagina sebagai contohnya. Sedangkan benda ini penting untuk menjelaskan bagaimana transmisi itu berlaku,” katanya.

-SinarHarian