IPOH : Lebih 1,000 penduduk Taman Chepor Sentosa, di sini dan kawasan sekitarnya membantah penerokaan dan pembalakan Hutan Simpan Kledang yang terletak berhampiran kawasan perumahan mereka.

Mereka bimbang penerokaan hampir 160 hektar hutan itu akan menyebabkan kejadian banjir kilat dan banjir lumpur yang berlaku beberapa tahun lalu berulang, yang hanya disebabkan penerokaan haram oleh penanam jagung.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Berhubung Pemusnahan Kawasan Hutan di Lereng Bukit Banjaran Kledang, Taman Chepor Sentosa, Shamsul Kamar Ani berkata, mereka bimbang jika projek itu diteruskan, akan memberi kesan lebih buruk terhadap penduduk

“Kami tidak mahu berlaku banjir lumpur seperti yang pernah dialami oleh beberapa orang penduduk taman ini pada dua tiga tahun lepas akibat penerokaan secara haram untuk penanaman jagung.

“Itu baru pada skala kecil dan tidak mustahil dengan projek berskala besar ini, perkara lebih buruk boleh berlaku,” katanya pada sidang media di sini, pada Ahad.

Bantahan itu turut disuarakan penduduk setempat yang mengadakan perhimpunan di pekarangan surau Taman Chepor Sentosa.

Pengerusi Jawatankuasa Surau Taman Chepor Sentosa, Datuk Ahmad Mohd berkata, kerja-kerja pembalakan itu telah dijalankan sejak kira-kira sebulan lalu.

“Dulu antara pukul 10 pagi hingga 12 tengahari, kita akan dengar suara burung-burung dan ungka bersahut-sahutan tetapi sekarang kami tidak lagi dengar macam tu lagi, burung merbuk pun dah tak berbunyi, ungka-ungka pun dah lari dah,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana projek itu boleh dijalankan di kawasan yang termasuk di dalam Geopark Lembah Kinta yang telah diisytiharkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Ogos 2018.

Wakil Kaum Wanita (Helwa) Taman Chepor Sentosa, Faridah Abdul Karim pula berkata, kawasan hutan itu berpotensi untuk dijadikan tempat rekreasi atau beriadah di mana di sini terdapat air terjun tiga tingkat yang belum diteroka oleh mana-mana pihak.

Sehubungan itu, beliau berharap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberhentikan segera projek itu dengan segera.

“Kami pihak berkuasa memikirkan risiko yang tinggi yang kami penduduk akan hadapi jika projek ini diteruskan,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman mempertikaikan bagaimana Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang memiliki tanah berkenaan, menggunakan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang diperolehi pada 2009 untuk projek tersebut.

“Mengikut syarat-syarat kelulusan EIA yang ditetapkan oleh JAS, tempohnya hanya dua tahun. Jadi kalau dalam tempoh dua tahun tu tidak dilaksanakan kerja-kerja ataupun projek tu, bermakna EIA itu dengan otomatiknya terbatal. Jadi ini kita persoal, sepatutnya dia nak buat aktiviti ni, dia kena ada EIA yang baru,” katanya.