BATU KURAU: Isu kesesakan jalan raya luar biasa hampir berbelas kilometer setiap kali tiba musim perayaan dan musim buah-buahan khususnya durian di Batu Kurau sudah berlarutan sekian lama.

Tambahan dengan kemalangan jalan raya yang kerap kali berlaku akibat pertambahan kenderaan pada musim cuti sekolah di sepanjang jalan menuju ke tempat yang terkenal dengan raja buah itu.

Hampir 50 tahun penduduk di sini menantikan jalan baru yang dijanjikan iaitu menghubungkan bandar Kamunting dan Anak Kurau, yang boleh memendekkan masa perjalanan ke dua tempat itu berbanding jalan utama yang digunakan sekarang.

Malangnya penduduk di sini mendakwa projek jalan yang dijanjikan itu hanya dibuat separuh jalan dan terbengkalai sejak tahun 2017 walaupun peruntukan sudah disalurkan untuk projek tersebut, yang sepatutnya siap sepenuhnya pada jun lalu.

Ujar salah seorang penduduk di sini, Ahmad Hasbullah Elias, mereka begitu mengharapkan kerajaan negeri mempercepatkan pembinaan jalan itu yang akan memberi manfaat kepada hampir 60,000 penduduk Batu Kurau.

“Kalau ikut pada 50 yang lampau lagi dah didesak oleh masyarakat di sini, kerajaan BN sudah memerintah, kerajaan PH sudah, dan yang ketiga ni kerajaan PN pula.

“Sudah tiga kerajaan yang bertukar, jadi kali ini kerajaan PN saya minta laksanakanlah tugas yang terbengkalai ini dan sebenarnya jalan ini telah pun diluluskan oleh kerajaan, baki lagi sambungan iaitu lebih kurang 6km.

“Duit peruntukan sudah ada jadi kita nak penjelasan kepada pihak kerajaan kenapa tak diteruskan semula projek jalan baru ini, yang sangat dinantikan oleh penduduk di sini,” katanya.

Sementara itu Mohd Nasuha Mohd Nafi,72, antara generasi ketiga kampung ini yang meluahkan rasa kecewanya berhubung penangguhan jalan baru Kamunting-Anak Kurau.

Jalan itu juga katanya boleh mempercepatkan masa perjalanan hanya 15 minit ke dua-dua arah berbanding lebih 50 minit jika melalui jalan sedia ada.

“Jalan yang kami minta ini dari umur saya 12 tahun hingga sekarang saya sudah 72 tahun, boleh bayangkan berapa lama kami tunggu jalan baru ini, jadi saya minta mana-manalah jangan main politik lagi.

“Kita mahu supaya jalan ini disiapkan supaya kemudahan serta kesenangan untuk generasi yang akan datang, saya bercakap ini sebagai generasi yang ketiga, yang pertama semua sudah meninggal begitu juga generasi kedua, ini untuk kesenangan semua juga,”ujarnya.

Menurut wakil Jawatankuasa Bertindak Jalan Kamunting-Anak Kurau, Mohd Radzi Ramli, dia sudah beberapa kali menggesa pihak yang bertanggungjawab untuk meneruskan projek tersebut, bagaimanapun katanya tiada sebarang tindakan sehingga sekarang.

“Ia akan beri kemudahan kepada orang ramai khususnya di musim perayaan dan buah-buahan di Batu Kurau sebagaimana kita tahu tempat ini merupakan pengeluar hasil buah-buahan khususnya durian.

“Jalan baru itu nanti dapat mengelakkan jalan menjadi sesak contohnya musim durian sekarang tiap-tiap hari minggu pekan Batu Kurau sesak teruk dengan kenderaan, kadangkala boleh cecah berpuluh kilometer sesak dengan kenderaan.

“Kita tak mahu perkara ini berpanjangan,sampai bila kami kena tunggu? Tempoh 50 tahun itu sudah cukup lama,menurut apa yang dijelaskan oleh pegawai yang bertanggungjawab tentang jalan ini, duit peruntukan sudah ada tetapi kenapa tidak diteruskan jalan yang terbengkalai ini,” katanya.

Sebelum ini projek jalan baru yang menghubungkan Kamunting-Anak Kurau hanya siap dengan jarak lebih kurang 2km dan masih berbaki 6km untuk disiapkan sepenuhnya.

Kata mereka lagi, besar harapan penduduk kampung di sini untuk melihat projek pembinaan jalan itu diteruskan dalam masa terdekat demi kepentingan bersama dan juga berpotensi membangunkan Batu Kurau yang selama ini dikenali dengan kualiti duriannya.