IPOH: Warga Bandaraya Ipoh, termasuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan mendesak supaya projek pembinaan di Padang Ipoh yang masih menjadi tanda tanya dihentikan serta merta.

Mereka juga tidak mengalu-alukan projek itu kerana dikatakan boleh menjejaskan padang tersebut yang telah diisytiharkan sebagai salah satu ikon Jejak Warisan di Perak.

Jurucakap mereka, Mazlan Ali berkata, keindahan Padang Ipoh perlu dikekalkan kerana ia terkenal di seluruh dunia sebagai gelanggang pelbagai jenis sukan, khususnya kriket dan ragbi.

“Ini amat-amat mengecewakan lah pada warga-warga Ipoh dan juga penduduk Ipoh ni.

“Jadi saya berharap pihak kerajaan perlu berhenti serta merta, perlu berhentikan serta merta atas pembinaan yang telah dilakukan sekarang ni.

“Jadi pihak kerajaan kena ambil perkara ni serius, jangan pandang remeh pula, rakyat kita kena utamakan,” katanya.

Beliau ditemui ketika menyampaikan memorandum bantahan kepada Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Mohd Jaffrey Mohd Zainol di Ipoh pada Selasa.

Mazlan mendakwa pihaknya juga berjaya mendapatkan tandatangan daripada 135 orang ramai yang menjalankan aktiviti riadah di padang itu baru-baru ini, hanya dalam tempuh satu jam.

Katanya, orang ramai juga tertanya-tanya mengenai projek pembinaan yang dijalankan kerana tiada sebarang papan tanda mengenainya.

Pada Julai lalu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, Pihak Berkuasa Pembangunan Koridor Utara (NCIA) akan melaksanakan projek cahaya dan bunyi (light and sound) di Padang Ipoh dengan kos RM3 juta.

Ia membabitkan pencahayaan menarik di kawasan berkenaan yang akan menjadi tarikan pengunjung.