PARIT: Penduduk Kg Bukit Chupak di sini dan kawasan sekitarnya kini boleh beribadat dengan selesa apabila mendapat masjid baharu yang serba lengkap, termasuk dengan kemudahan bilik kuliah dan penghawa dingin.

Masjid As-Salam itu dibina oleh Pejabat Pembangunan Negeri Perak dengan peruntukan yang diluluskan oleh Perdana Menteri sebanyak RM2.5 juta dan mampu memuatkan 800 jemaah pada satu-satu masa.

masjid baru

Majlis serah terima masjid itu antara Pejabat Pembangunan Negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Ahli Parlimen Parit dan pihak pengurusan masjid berlangsung di sini pada Khamis.

Hadir sama Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan dan Pengarah Pembangunan Negeri Perak, Datuk Hasim Hasan.

Hasim yang ditemui pemberita berkata, Masjid As-Salam mula dibina di atas tapak lama pada 26 Ogos 2015 dan siap sepenuhnya pada 27 Februari 2017.

“Pembinaan masjid ini berjalan dengan baik mengikut tempoh 18 bulan seperti yang ditetapkan, tanpa sebarang lanjutan masa,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama untuk melancarkan projek tersebut.

masjid baru 4

Beliau memberitahu, tiga lagi masjid di Daerah Perak Tengah sedang dalam pembinaan iaitu di Kampung Layang-Layang Kanan, Teluk Kepayang dan Bandar Universiti.

Sementara itu, Mohd Zaim berkata, pembinaan masjid itu, di samping surau serta sekolah agama di seluruh negara, adalah bukti keprihatinan kerajaan untuk meningkatkan lagi syiar Islam di negara ini.

“Kalau di negara luar, misalnya Indonesia, pembinaan masjid adalah soal rakyat dan mereka terpaksa memohon sumbangan untuk membina masjid atau surau, sebaliknya kita di sini, kerajaan yang buat,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berharap agar penduduk kampung dapat mengimarahkan lagi masjid dengan pelbagai program dan aktiviti ilmu di samping mengelakkan rumah Allah itu dijadikan tempat berpolitik kerana ia akhirnya akan mewujudkan perpecahan.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid As-Salam, Mokhtar Jaafar pula mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, khususnya kerajaan yang membina masjid itu bagi menggantikan masjid lama yang sudah usang.

“Masjid lama sudah terlalu uzur dan hanya boleh memuatkan kira-kira 300 jemaah sahaja,” katanya sambil berharap penduduk kampung dapat memanfaatkan sepenuhnya masjid baru itu.

Sementara itu, bekas imam masjid, Sayed Nengah Sayed Uda memberitahu, masjid lama yang dibuat daripada papan telah dibina pada tahun 1917 dan merupakan masjid ketiga di Parit.