PASIR SALAK: Penduduk dan nelayan dari 15 kampung di Mukim Kota Setia membantah pembinaan sebuah kilang memproses kelapa sawit yang didakwa dibina secara haram di tepi Sungai Dedap dekat Kampung Sungai Ranggam, di sini.

Mereka mendakwa, sekiranya pembinaan kilang itu tidak dihentikan segera, ia berkemungkinan menyebabkan pencemaran air di Sungai Dedap sekaligus mengancam pendapatan nelayan darat.

Ketua Nelayan Kota Setia, Mamosati Rahmat Ali mendakwa, pembinaan kilang itu dikhuatiri mengundang bau busuk yang boleh menjejaskan kehidupan seharian penduduk di kawasan sekitar terutamanya di Kampung Sungai Ranggam dan Kota Setia.

“Walaupun mereka berjanji tidak akan melepaskan bahan buangan ke dalam sungai tetapi ianya bukan satu jaminan kerana sebelum ini, ia pernah berlaku di kawasan lain, habis rosak sungai.

“Rezeki kita sebagai nelayan ini pun sudah semakin berkurangan. Jika dibiarkan kilang ini beroperasi dan sungai pula kelak sudah rosak, bagaimana kami hendak menyara keluarga.

0eae6b5e-5eb7-49c1-b305-c191654c5f0e“Kita tidak menentang pembangunan tetapi kalau boleh, kita mahu mencegah sebarang masalah seperti ini sebelum terjadi di kawasan kami,” katanya kepada pemberita ketika melakukan bantahan secara aman di tapak pembinaan kilang itu di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Mamosati merayu campur tangan kerajaan negeri Perak untuk menyiasat bagaimana kilang itu boleh dibina sedangkan status kawasan tersebut adalah tanah pertanian, malah pembinaan itu ditentang oleh penduduk sejak sekian lama.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Salak, Dr. Faizal Tajuddin berkata, pihaknya telah membuat laporan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat pembinaan kilang itu.

Katanya, SPRM perlu menyiasat bagaimana kilang tersebut boleh dibina sedangkan tiada sebarang surat kebenaran dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kita tidak mahu peristiwa yang terjadi di Teluk Intan di mana kilang yang beroperasi berdekatan sungai telah menghitamkan air sungai tersebut. Kita tidak mahu ia terjadi di sini pula.

“Kita harap pihak yang berkenaan dapat tampil menyelesaikan masalah ini sebelum terlambat,” ujar beliau.