Bagan Serai: Sebanyak 90 keluarga di Penempatan Penduduk Masyarakat Setempat (PPMS) Bukit Merah dekat sini, akan menerima geran hak milik kekal daripada kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata, keluarga terbabit mendiami PPMS itu sejak lebih 10 tahun lalu.

“Sebagai tanda prihatin, kerajaan negeri akan mengeluarkan borang 5A dalam tempoh terdekat dan ini merupakan usaha untuk membantu serta memastikan golongan miskin yang tidak mempunyai rumah mendapat kediaman,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bagi meninjau masalah tekanan serta paip bocor di Kampung Tau di sini, hari ini.

Penduduk PPMS sebelum ini tidak membayar sebarang sewa, sebaliknya hanya membayar bil eletrik dan air sahaja.

Dalam pada itu, Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol berkata, Lembaga Air Perak (LAP) akan menukar paip sedia ada di Kampung Tua sepanjang satu kilometer pada 2021, seterusnya mengatasi masalah tekanan air dan kebocoran paip.

Katanya penggunaan paip lama jenis simen asbestos akan diganti dengan jenis UPVC ‘Unplasticized Polyvinyl Chloride’ sebesar empat inci dan apabila siap, ia akan memberi keselesaan kepada 200 penduduk.

“Oleh kerana peruntukan tahun ini sudah habis, kita sebolehnya akan memohon peruntukan untuk dilaksanakan pada tahun depan,” katanya.