SERI ISKANDAR: Rungutan dan permintaan penduduk untuk diwujudkan sebuah pasar awam di Seri Iskandar akan diteliti lebih mendalam sebelum ianya dapat direalisasikan.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, kepesatan pembangunan di Seri Iskandar menyebabkan kemudahan pasar awam menjadi satu masalah utama buat penduduk.

Tambahnya, Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) telah mengenal pasti lokasi bersesuaian untuk dijadikan tapak pasar awam di kawasan itu.

“Saya sudah dimaklumkan bahawa ada rungutan daripada penduduk yang mahukan pasar awam dibina di sini.

“Setakat ini MDPT sudah kenal pasti lokasi yang terletak di belakang stesen minyak Petronas di sini (Seri Iskandar), namun ia kepunyaan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

“Menteri Besar sendiripun sudah minta saya lihat apa yang boleh dilakukan, kita cuba untuk berbincang dengan PKNP adakah ia dapat dilaksanakan,” katanya.

Zahir ditemui semasa merasmikan Astaka Taman Gemilang dan Sesi Townhall di Taman Gemilang, Seri Iskandar bersempena Permukiman Menteri Besar di daerah Perak Tengah pada Rabu.

Ujar Zahir, astaka yang sudah siap sepenuhnya itu akan menjadi sebuah tempat komuniti dalam menjalankan sebarang aktiviti kemasyarakatan.

“Walaupun taman ini masih baru dibuka tetapi sudah mempunyai prasarana lengkap lebih-lebih lagi dengan kewujudan astaka sebegini, ” katanya.