TAIPING: Hujan renyai-renyai tidak menghalang masyarakat di sekitar bandar warisan Taiping untuk menunggu ketibaan pewaris takhta Britain, Putera Charles di Tanah Perkuburan Perang Taiping.

Orang ramai yang setia menunggu sejak jam 10.30 pagi sambil berpayung, kelihatan teruja dengan kunjungan Putera Charles ke bandar tersebut.

Tidak kurang juga yang teruja menyaksikan persiapan akhir anggota unit beruniform seperti polis dan tentera dari Malaysia dan Britain, menyambut ketibaan Putera Charles.

Yang turut hadir dalam lawatan itu termasuk barisan Exco negeri Perak, serta para media tempatan serta luar negara.

Putera Charles dan isteri, Camilla, Duchess Of Cornwall sedang dalam rangka lawatan seminggu ke negara ini sempena ulang tahun ke-60 hubungan Malaysia dan United Kingdom.

Mereka berdua tiba di ibu negara semalam untuk lawatan rasmi ke Malaysia yang menjadi salah satu destinasi dalam jelajah Musim Luruh Diraja.

Majis resepsi yang dihoskan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah diadakan semalam di Muzium Kesenian Islam, berhampiran Masjid Negara, Kuala Lumpur.