VATICAN CITY: Sejumlah rangka manusia telah ditemui di sebuah premis milik Vatican dan berpotensi membawa kepada siasatan antara misteri paling hitam di Itali.

“Semasa kerja-kerja membaik pulih kawasan yang bersambung dengan pejabat ‘Apostolic Nunciature’ Itali, beberapa bahagian tulang manusia telah dijumpai,” kata Vatican dalam satu kenyataan, merujuk kepada pejabat diplomatik di Holy See di Rom.

Siasatan polis sedang dilakukan untuk mengenal pasti jantina, usia dan tarikh kematian.

Media melaporkan kesemua rangka itu ditemui Isnin lalu

Pegawai penyiasat sedang melihat jika kesemua rangka itu memiliki DNA yang berpadanan dengan Emanuela Orlandi atau Mirella Gregori, kedua-duanya masih di bawah umur apabila dilaporkan hilang dalam waktu berbeza di Rom pada tahun 1983.

Orlandi adalah anak perempuan kepada anggota polis Vatican dan kali akhir dilihat pada 22 Jun 1983 ketika meninggalkan kelas muzik.

Teori menyatakan remaja berusia 15 tahun itu diculik oleh satu pertubuhan jenayah terancang untuk memberi tekanan kepada pengurusan Vatican manakala satu lagi dakwaan menyatakan mangsa dibawa untuk memaksa pembebasan Mehmet Ali Agca, seorang rakyat Turki yang cuba membunuh Paus Jean Paul II pada tahun 1981.

Abang mangsa, Pietro sebelum ini melancarkan kempen selama berpuluh tahun untuk mengetahui kejadian sebenar yang menimpa adiknya dan menuduh Vatican hanya berdiam diri serta turut bersubahat dalam kes itu.

Sementara itu Gregori pula hilang genap 40 hari sebelum Orlandi dan kali akhir dilihat menjawab interkom rumahnya sebelum memberitahu ia adalah panggilan dari seorang rakan sekolah yang mahu bertemu. Gadis terbabit tidak pernah pulang lagi selepas itu. – AFP