IPOH: Kerajaan negeri yakin perkhidmatan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd dari Ipoh-Singapura-Ipoh dapat mempromosikan lagi negeri Perak sebagai destinasi utama kepada pelancong dalam dan luar negara.

Secara rasminya melancarkan penerbangan tersebut hari ini, perkhidmatan itu juga dilihat sebagai usaha AirAsia memperluaskan rangkaian di Ipoh dengan kekerapan penerbangan empat kali seminggu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, penerbangan itu membuktikan bahawa terdapat permintaan dan penawaran yang ketara bagi industri pelancongan di negeri ini.

“Saya berbesar hari untuk mengalu-alukan laluan kedua AirAsia dan laluan antarabangsa pertama yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan ini ke Ipoh.

“Saya juga teruja gembira dengan keputusan pihak AirAsia yang akan meningkatkan kekerapan penerbangannya dari Johor Bahru ke Ipoh, daripada empat ke tujuh kali penerbangan seminggu bermula 12 Februari 2019,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penerbangan AirAsia Singapura-Ipoh di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), di sini pada Isnin.

Yang turut sama, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut mengulas mengenai cadangan untuk memanjangkan landasan LTSAS, selain menambah tarikan baharu di sekitar kawasan tersebut.

“Setakat ini kita cuma menggunakan 50 peratus daripada kapisiti sepenuhnya di sini, terminal ini boleh menampung sehingga 500,000 orang setahun.

“Kita sedang merancang untuk memanjangkan landasan sedia ada dengan jumlah 500 meter menjadikannya 2.5 kilometer, ia sudah mencukupi,” katanya lagi.

Sementara itu, Riad berkata, AirAsia menawarkan promosi tambang daripada RM59 dari Ipoh ke Singapura yang boleh ditempah di airasia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia dari sekarang hingga 16 Disember 2018.

“Harga promosi itu untuk perjalanan sehala sahaja, sejak pelancaran laluan ke Johor Bahru-Ipoh pada bulan Oktober, kami telah menerima hampir 10,000 orang tetamu ke dan dari Ipoh.

“Pihak kami juga komited untuk meneroka lebih banyak peluang serta memperluaskan rangkaian penerbangan ke sini, dan berharap ia akan menyumbang kepada peningkatan pelancong ke Perak secara keseluruhan,” ujarnya.