IPOH– Seorang lagi pengadu tampil membuat laporan polis terhadap pengasuh yang dipercayai mengakibatkan kematian bayi lelaki berusia 9 bulan, Muhammad Firaz Danial Muhammad Nizar di Manjung, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd, Rahman berkata, pengadu berusia 26 tahun itu menghantar anak lelakinya berusia 9 bulan kepada pengasuh yang sama.

Bagaimanapun, dia berhenti dari mendapatkan khidmat pengasuh berusia 28 tahun itu, setelah mendapati ada beberapa kesan bengkak di kepala dan telinga anaknya.

“Maklumat terbaru ada satu keluarga lagi yang membuat laporan polis kelmarin,mendakwa anaknya pun ada kesan penderaan dihantar kepada pengasuh yang sama, sejak sembilan bulan lalu.

“Apabila keluarga ini dapat tahu anak orang lain meninggal, baru dia buat laporan polis yang anak dia pun mendapat kecederaan, dua kali kepalanya bengkak dan cubitan di telinga.

“Setakat ini kita belum buat tangkapan dan menunggu laporan pengesahan dari pegawai perubatan dan kenalpasti jika ada masalah kepada pengasuh ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK), di sini pada Jumaat.

Sementara itu, katanya lagi siasatan lanjut terhadap kematian Muhammad Firaz Danial mendapati ada kesan darah beku di dua bahagian kepala mangsa.

“Daripada post mortem dan rawatan doktor, perkara itu (darah beku) tidak boleh berlaku melainkan bayi tersebut digoncang dengan begitu kuat menyebabkan otaknya bergegar,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan tiada kesan penderaan terhadap Muhammad Firaz Danial yang dihantar ke rumah pengasuh di kuarters polis IPD Manjung.

Muhammad Firaz Danial meninggal dunia selepas sehari berada di Unit Rawatan Rapi Hospital Ipoh, setelah mengalami pendarahan dalam kepala dipercayai akibat gegaran kuat.