PARIT: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan mencuri wang tunai tabung sebuah surau, Jumaat lalu.

Muhammad Waafi Azahari, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nazratul Natrah Mohd Yusof.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira jam 10.57 pagi di Surau Al Solahiah Kampung Tersusun Taman Tasek Permai, dekat Batu Gajah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dikenakan denda.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fairoz Abd Mutalib manakala tertuduh diwakili peguam, Rajit Gill.

Pada Selasa, Suara Perak melaporkan, seorang lelaki yang menyamar dengan memakai jubah wanita untuk mencuri wang dari tabung surau ditahan polis selepas kegiatannya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) surau berkenaan.

Ketika ditahan polis turut menemui wang tunai sebanyak RM100, sehelai jubah wanita bewarna hitam, sehelai tudung berwarna hitam, sehelai seluar panjang berwarna hitam, satu beg dan satu beg sandang yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan curi.