Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TAIPING: Pengasas skim pelaburan JJ Poor to Rich (JJPTR), Johnson Lee dan dua rakan subahat ditahan reman untuk kali ketiga ekoran laporan polis terhadap mereka dibuat oleh seorang pelabur skim itu yang mendakwa kerugian RM4,700.

IMG-20170522-WA0002

Perintah tahanan reman  selama dua hari bermula hari ini dikeluarkan oleh Majistret Sharifah Izura Syed Mashor mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

 

Perintah itu dipohon oleh pihak polis bagi membolehkan siasatan lanjut ke atas ketiga-tiga lelaki itu atas dakwaan menipu wang pelabur-pelabur JJPTR mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ketiga-tiga tahanan itu diwakili oleh peguam Mohd Shukri Ahmad Mansor dan G. Jaya Prem.

Semalam, polis menahan Lee dan dua rakannya yang berusia 28 hingga 29 tahun di Pulau Pinang tetapi dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Pulau Pinang dengan jaminan polis.

Mereka kemudiannya ditahan semula pada hari yang sama berikutan laporan seorang pelabur skim tersebut di Kamunting, Perak yang membabitkan kerugian bernilai RM 4,700.

Pada 16 Mei lepas, Lee diberkas bersama dua rakannya dalam serbuan di sebuah lokasi di Petaling Jaya dan polis merampas sebuah kereta Honda Accord lima unit telefon bimbit, pelbagai dokument berkaitan skim pelaburan, buku cek, 11 keping kad debit dan kredit pelbagai bank dan wang tunai RM20,936.

Empat hari sebelumnya, polis, Bank Negara, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara dan Cyber Security menyerbu lapan pejabat JJPTR di Pulau Pinang.

Seramai 15 pekerja termasuk 13 wanita dan 4 pelabur berusia 23 hingga 40 tahun turut ditahan untuk disoal siasat, manakala 7 unit komputer dan komputer riba, mesin mengira wang, televisyen, perakam CCTV, wang tunai berjumlah RM3,300 dan ratusan dokumen disita.

Polis turut memulakan langkah membekukan akaun skim pelaburan JJPTR.

JJPTR mula menjadi perhatian media sejak April lalu selepas Lee mendakwa dana skim pelaburan miliknya dipindahkan “penggodam” dan mengakibatkan kerugian lebih AS$50 juta (RM217 juta).

Bagaimanapun, ada dakwaan yang mengatakan skim pelaburan berasaskan tukaran mata wang asing itu dipercayai mengaut keuntungan RM1.7 bilion hasil wang yang dilaburkan mangsa.

Skim pelaburan JJPTR ditubuhkan pada 2015 dengan menjanjikan pulangan 20% sebulan. Sebuah lagi skim baharu diumumkan awal bulan ini yang menjanjikan pulangan setinggi 35% sebulan.