Jitra: Seorang wanita tidak menyangka suami isteri yang mengasuh anaknya sejak lapan bulan lalu, rupa-rupanya penagih dadah.

Perkara itu terbongkar selepas pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kubang Pasu menghubunginya memaklumkan anak lelakinya berusia empat tahun yang diasuh pasangan itu turut dibawa ke pejabat AADK

Ia berikutan penahanan suami isteri di rumah mereka di Taman Mahsuri, di sini, semalam

Mereka ditahan 3 petang semalam dan ketika ditahan, pasangan itu berada dalam rumah bersama dua anak mereka berusia lapan dan lima tahun serta seorang kanak-kanak lelaki yang diasuh mereka yang berusia empat tahun.

Kesemua mereka kemudian dibawa ke pejabat AADK Kubang Pasu sebelum dua anak pasangan itu diserahkan kepada keluarga mereka, manakala kanak-kanak lelaki yang diasuh itu diserahkan kembali kepada ibunya.

Wanita berusia 41 tahun itu yang mahu dikenali sebagai Nor berkata, dia mengenali wanita yang mengasuh anaknya sudah lama kerana tinggal berjiran dengan rumah ibunya.

Dia berkata, ia menyebabkan dia percaya untuk meninggalkan anaknya.

Katanya, dia bekerja dengan sebuah agensi swasta di Kuala Nerang, manakala suaminya bekerja di Perak.

“Saya terkejut dan tak sangka sebab apabila tengok keadaan rumahnya memang bersih dan anak saya pula dijaga dengan baik.

“Saya tak syak apa-apa sebelum ini walaupun dia kerap pinjam duit sebab nak guna mungkin beli dadah, malah saya bayar dia RM250 sebulan untuk jaga anak,” katanya ketika ditemui di pejabat AADK, semalam.

Sementara itu, ujian saringan awal terhadap pengasuh wanita dan suaminya yang masing-masing berusia 33 tahun itu mendapati mereka positif methamphetamine.

Pengasuh itu mendakwa, dia mengambil dadah selepas dipaksa suaminya yang juga penagih tegar.

“Lepas ini saya akan cuba berhenti kerana ini kali pertama saya ditahan AADK dan tak pernah lagi kena tangkap.

“Sebelum ini kami menetap di Kuala Lumpur dan suami sudah ambil dadah sejak di sana sebelum kami ambil keputusan untuk pulang ke sini untuk berubah tapi tak boleh sebab abang saya pun turut terbabit dengan dadah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah AADK Kedah, Mohd Rizal Tawil mengesahkan penahanan suami isteri itu

“Mereka adalah antara 12 penagih yang ditahan dalam Op Cegah yang dijalankan di sekitar Kubang Pasu yang kita tahan dari rumah ke rumah,” katanya. – H. Metro