SUNGAI PETANI: Seorang pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menganiaya anjing pada November tahun lalu.

K Krisnamurthy, 60, yang juga seorang orang kurang upaya (OKU) pendengaran, mengaku tidak bersalah dan minta dibicara selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa berlaku kejam atau secara tidak munasabah menyebabkan kesakitan atau penderitaan yang tidak sepatutnya ke atas seekor anjing di Jalan Berangan menghala ke Taman Sri Wang di sini, pada jam 11.05 malam, 10 November 2019.

Berikutan itu dia didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan PerkhidAmatan Veterinar Negeri Kedah, Azizi Ngah Ahmad, manakala Krisnamurthy diwakili peguam Datuk S Ganesan.

Mahkamah menetapkan 20 September ini untuk sebutan semula kes. -BH