IPOH: Kerajaan Negeri mengambil langkah memberi pengecualian sepenuhnya tujuh caj yang ditanggung pemaju perumahan yang terlibat dengan projek-projek rumah mampu milik dan kos rendah di negeri ini.

Exco Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, YB Paul Yong berkata tujuh caj tersebut adalah Fi Kebenaran Merancang, Pelan Kerja Tanah, Kajian dan Penyelidikan (R&D), Bayaran Papan Hoarding, Permit Rumah Kongsi, Permit Papan Tanda serta Pelan Lampu Jalan.

Menurutnya pengecualian tersebut merupakan sebahagian langkah yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri dalam usaha menambahbaik Dasar Perumahan Negeri.

Katanya kerajaan negeri melalui  Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) yakin langkah tersebut dapat memastikan ia mampu menarik penyertaan lebih remain pemain industri untuk merancakkan sektor pembangunan rumah mampu milik.

Katanya penambahbaikan itu diharap dapat meningkatkan unit-unit rumah mampu milik di negeri ini,

Katanya, antara penambahbaikan yang bakal dilakukan adalah berkaitan strategi penyelarasan, pengintegrasian, dan kawalan selia pembangunan sektor perumahan di negeri ini.

“Ia diharap dapat mengurangkan kekurangan dan kelompangan pembangunan perumahan mampu milik dan kos rendah oleh sektor swasta.

“Selain pembangunan perumahan oleh kerajaan dan agensi kerajaan, LPHP akan memantau pembangunan perumahan mampu milik syarikat swasta di Perak serta membimbing industri perumahan berdasarkan keperluan populasi dan sosioekonomi rakyat,”katanya ketika menjawab soalan lisan oleh ADUN Tualang Sekah, pada Sidang Dewan Undangan Negeri yang ke-14 pada Selasa.

Jelasnya, buat masa ini LPHP sedang mengenalpasti beberapa lokasi untuk dibangunkan pada tahun ini bagi rumah kos rendah dan mampu milik untuk kegunaan masyarakat setempat.