SUNGAI PETANI: Seorang bapa kepada dua anak dikesan kembali mengemis walaupun pernah diselamatkan sebelum ini, dengan alasan tidak mendapat pekerjaan atas faktor kesihatan.

Lelaki tempatan berusia 43 tahun itu sekali lagi diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam satu operasi bersepadu, semalam, ketika mengemis di hadapan sebuah bank di sini.

Pengarah JKM negeri, Azmi Abd Karim, berkata lelaki itu pernah diselamatkan di lokasi sama, Januari lalu.

“Dia akan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan (RSK) Bedong sebelum perintah Tahan Sementara Seksyen 3(2) Akta Orang Papa 1977 diperoleh daripada mahkamah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, operasi bersepadu dari jam 5 petang hingga 7 malam itu turut membabitkan kerjasama tujuh agensi lain.

Agensi terbabit ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Pejabat Agama Daerah Kuala Muda, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Pejabat Kesihatan Daerah dan Pejabat Pendaftaran Negara.

Operasi itu menyasarkan sembilan lokasi sekitar Sungai Petani, termasuk Bazar Ramadan Jalan Lama Wisma Ria, Bazar Ramadan Jam Besar, Bazar Ramadan Tikam Batu dan bank sekitar Lagenda Height serta Taman Ria Jaya.

Katanya, melalui operasi itu, dua lelaki masing-masing warga Thailand berusia 46 tahun dan warga Kemboja berusia 50 tahun, turut diselamatkan serta dirujuk kepada Jabatan Imigresen.

Selain itu, beliau berkata, JKM merampas 11 tong derma yang dikatakan milik pusat tahfiz dan surau, untuk dirujuk kepada Pejabat Agama Daerah.

Azmi berkata, operasi itu adalah sempena Kempen Bijak Membantu Elak Tertipu dalam usaha membersihkan imej negara daripada aktiviti mengemis.

“Kempen ini bertujuan mendidik masyarakat supaya menyalurkan sumbangan atau derma menggunakan saluran yang betul,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 106 pengemis tempatan dan warga asing diselamatkan di seluruh negeri ini melalui 153 operasi diadakan sepanjang tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, 66 adalah pengemis tempatan, manakala baki 40 lagi warga asing,” katanya.