Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BAGAN DATUK: Sebarang kenyataan berbaur ugutan yang dikeluarkan oleh mana-mana pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak dialukan sama sekali kerana ia hanya akan menggugat semangat kesatuan sedia ada.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata elemen ugutan tidak dialukan apatah lagi apabila ia melibatkan kerusi yang telah ditentukan pimimpin utama BN.

Justeru, Ahmad Zahid yang merupakan Naib Presiden UMNO itu berharap agar semangat kesatuan diberi keutamaan untuk menangani masalah ditimbulkan daripada sebuah parti dari antara13 parti komponen itu.

“Sudah tentu, kepimpinan Barisan Nasional mengambil kira persetujuan terhadap kerusi-kerusi tertentu samada ia dipinjamkan buat sementara waktu, atau ditukarkan dengan kerusi lain.

“Akan tetapi, sekiranya pemimpin berkenaan mahu terus berkeras, saya yakin akhirnya beliau akan menerima hakikat bahawa kesatuan di dalam BN adalah sesuatu yang harus diberikan keutamaan, ertinyaa semangat kesatuan di kalangan parti komponen terus diterjemahkan dalam bentuk komitmen,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi lawatan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parit 4, Kg Parit 5, Sungai Sumun, dekat sini pada petang Khamis.

Katanya, beliau cukup yakin bahawa Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai formula khas untuk menangani perkara tersebut sebaik sahaja Pilihan Raya Umum ke-14 ini berakhir, seperti yang dilakukan dalam pilihan raya sebelum ini.

Penyandang Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata pihak UMNO malah sanggup berkorban kerusi kepada calon parti komponen pada PRU sebelum ini kerana yakin mereka tetap akan membawa imej dan lambang BN.

“Jadi, kemenangan parti manapun tetap akan mewakjili BN dan melambangkan bahawa,mana-mana calon yang bertanding, selagi ianya berada di dalam komponen BN, maka ia harus didokong oleh semua ahli dan kepimpinan parti komponen BN,”katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai tindakan presiden myPPP, Tan Sri M Kayveas yang mungkin akan keluar daripada parti komponen BN ekoran pergolakan kerusi tradisi MIC di Cameron Highland, Ahmad Zahid berkata ianya adalah isu yang harus diselesaikan secara politik.

”Saya telah nyatakan bahawa ada formula untuk penyelesaian, jadi calon bukan penyelesaian muktamad. Ada beberapa kaedah untuk memberikan peluang kepada parti berkenaan untuk berada dalam anggota pentadbiran dan juga di dalam badan-badan lain di bawah,”katanya lagi.

Malah, beliau menegaskan mengenali hati budi pemimpin tersebut yang disifatkannya sebagai baik hati.

Ahmad Zahid juga tidak menolak bahawa tindakan beliau untuk keluar parti daripada BN itu berkemungkinan berpunca untuk menjaga hati rakan-rakan dalam kepimpinan dan parti beliau.

“Secara peribadi,beliau tidak bersikap sedemikian, saya memahaminya, dan saya akan terus menilai beliau sebagai sahabat kita, dan sahabat kepada BN,”ujarnya lagi.

Ahmad Zahid juga berkata perkara ugutan keluar parti itu bukan sahaja berlaku kepada parti BN malah di antara pihak pembangkang.

“Saya dengar, dari kawan sebelah sana (pembangkang), ugutan tetap ada terutama ahli parlimen atau ADUN di sebelah pembangkang, seperti tak dipilih semula.

“Jadi, saya anggap dalam politik perkara sebegini adalah lumrah setiap kali PRU,”katanya lagi.

BERITA BERKENAAN : Zahid Tak Kisah Siapa Lawan Di Bagan Datuk