KUALA LUMPUR : Polis menahan seorang pengerusi persatuan pengurusan kuil bagi membantu siasatan ugutan jenayah terhadap bekas pengerusi persatuan kuil itu dan isterinya di tempat letak kereta awam di Petaling Jaya, dengan rakaman video kejadian itu tular di media sosial.


Ketua Polis Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata suspek berusia 41 tahun itu ditahan di kawasan Sea Park kira-kira pukul 3 pagi Rabu, dan polis turut merampas dua pucuk pistol bersama 15 butir peluru yang ditemui di pejabatnya di Balakong, Cheras pada hari yang sama
Beliau berkata terdahulu pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita mendakwa seorang lelaki dikenali telah melakukan ugutan terhadap suami dan dirinya dalam satu kejadian kira-kira 5.30 petang, Selasa lepas.


“Siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham antara suspek yang merupakan pengerusi baharu dengan sumai wanita itu yang merupakan pengerusi terdahulu persatuan berkenaan. Perselisihan faham itu mengenai perebutan kuasa dalam pengurusan kuil di kawasan Sea Park,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.


Beliau berkata selain laporan ugutan itu, terdahulu suami wanita itu pula membuat dua laporan polis berhubung perebutan kuasa di Balai Polis Sea Park pada 13 Ogos lepas.


Semakan mendapati suspek mempunyai lesen senjata api sah dikeluarkan IPD Kajang.


Suspek direman selama sehari untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan untuk siasatan tetapi sudah dibebaskan dengan jaminan polis kerana tempoh reman diperolehi sudah tamat.

“Dua pistol yang dirampas pula masih dalam simpanan polis,” katanya.
Pihaknya masih meneruskan siasatan ke atas kedua-dua pihak bertelagah bagi meneliti pembabitan ‘Geng 21′ dan Geng ’04’ di dalam pertelingkahan itu.


“Jika terbukti, tindakan pencegahan akan menyusul. Kami akan melengkapkan kertas siasatan dan merujuknya kepada pihak pendakwa raya dalam tempoh terdekat,” jelasnya.


Pada masa yang sama, Nik Ezanee turut mencadangkan agar kelulusan lesen senjata api suspek dikaji semula demi kepentingan dan keselamatan awam.


Terdahulu, tular rakaman seorang lelaki bertengkar dengan pasangan suami isteri di tempat letak kereta awam berhadapan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dan dikatakan telah berlaku ugutan yang menimbulkan ketakutan kepada pasangan itu.
– BERNAMA