JOHOR BAHRU: Seorang penggiat media sosial yang ditahan kerana dipercayai mengeluarkan kenyataan mengkritik Tunku Mahkota Johor, dibebaskan dengan jaminan polis, petang semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata lelaki berusia 36 tahun itu dibebaskan selepas keterangannya direkodkan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Kita menerima laporan polis pada 4 Mei lalu yang dibuat oleh seorang lelaki berusia 37 tahun mengenai tulisan oleh pemilik akaun Twitter bernama Pipiyapong yang dikatakan mengandungi kenyataan berbaur penghinaan terhadap Tunku Mahkota Johor.

“Susulan itu, dia ditahan di Kuala Lipis, Pahang, pagi kelmarin.

“Dia disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam, dilaporkan kesal dengan tindakan polis menahan lelaki itu dan menegaskan rakyat bebas mengkritik pemimpin jika perlu.

Melalui laman Twitter rasminya, Dr Mahathir Mohamad@chedetofficial, semalam, beliau berkata kebebasan bersuara adalah penting dalam sesebuah negara demokrasi kecuali berunsur ugutan, fitnah atau penghinaan terhadap raja yang memerintah.

Sebelum ini, seorang pengguna Facebook dikenali Rizal Fahmi memuat naik status mendakwa seorang penulis dan Ketua pengarang laman web Neon Berapi, iaitu Firdaus Abdillah Hamzah @Pipiyapong ditahan malam kelmarin di Balai Polis Tampoi di sini, dipercayai kerana tindakannya memuat naik dua status di laman Twitter pada 1 Mei lalu.

Dua status itu ditujukan kepada individu digelar ‘Ismail Nike’.

Bagaimanapun, ada pihak yang menganggap Ismail Nike merujuk kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sementara itu, Tunku Ismail menerusi laman Twitter rasminya, berkata Istana Johor tidak membuat sebarang laporan polis mengenai perkara sedemikian sejak dahulu hingga sekarang.

Beliau berkata, jika ada laporan dibuat ia berkemungkinan daripada pihak lain – Berita harian