IPOH – Agamawan dan penggiat seni teater harus duduk berbincang bagi memastikan sebarang pementasan teater berbentuk Islamik tidak bercanggah dengan hukum agama.

Felo Penyelidik Kanan Universiti Malaya Dr Zainal Abdul Latif berkata, perbincangan itu boleh memberi kefahaman yang jelas mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh mengikut batas Islam dalam sebarang pementasan yang dihasilkan oleh penggiat seni.

“Penggiat teater kena ada ilmu teater yang kreatif dan rujukan untuk mengetahui sama ada teater Islamik yang dihasilkan haram atau tidak.

“Jadi saya harap mereka ini duduk dan berbincang. Kalau kita tidak pernah tegur atau tidak duduk berbincang, masing-masing main (mengikut) emosi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi pembentangan bertajuk ‘Harapan dan Cabaran Membangunkan Teater Islam untuk Malaysia’ pada Persidangan Dunia Pemikiran dan Tamadun Islam Kali ke-5 (WCIT) 2018 anjuran Universiti Sultan Azlan Shah, di sini pada Isnin.

Sebagai contoh, beliau berkata sekiranya pementasan teater mengisahkan tentang nabi, pelakon tidak boleh meniru perwatakan nabi sebaliknya hanya menyebut sabda atau kata-katanya sahaja.

“Lakonkan secara realistik, kita lakonkan secara simbolik bukan perwatakannya,” katanya.