IPOH: Pelaksanaan 0% GST oleh kerajaan baru-baru ini menyaksikan penurunan harga barangan terutama keperluan asas makanan dan ini memberikan perasaan lega kalangan pengguna di bandaraya ini.

seperti barangan mentah telah menimbulkan perasaan lega di kalangan pengguna di sekitar bandaraya Ipoh namun masih terdapat pemantauan ketat yang perlu dilaksanakan segera.

Tinjauan Suara Perak di beberapa pasar sekitar Ipoh mendapati harga barangan mentah seperti ayam, sayur dan makanan laut ada mencatatkan penurunan namun rata-rata pengguna yang ditemui meluahkan rasa bimbang terhadap kemampuan kerajaan untuk mengekalkannya.

Mereka juga mahukan satu mekanisme supaya harga barangan harian mentah yang dijual di pasar-pasar dapat diselaraskan bagi menghukum peniaga yang cuba mengambil keuntungan terhadap pengguna.

Berdasarkan maklumbalas orang ramai yang ditemui antara barangan yang didapati turun terdapat adalah ayam segar yang kini pada RM7.50 sekilo, minyak masak cap Buruh RM5.30 satu liter, daging lembu segar RM34 sekilo, ikan tenggiri RM 12 sekilo, ikan sardin/selayang RM10 sekilo dan ikan cencaru RM7 sekilo.

Bagi Mohamed Azlan Abdul Rahman, 40, berpendapatan penurunan itu membuktikan pelaksanaan GST sejak tiga tahun dahulu merupakan antara punca kenaikkan harga barang.

Katanya, berdasarkan pemantauan beliau ketika berbelanja pengurangan harga juga mencapai sehingga 10 peratus.

Menurutnya penurunan itu memberi manfaat kepada pengguna terutama umat Islam yang berbelanja ketika persiapan Syawal tempoh hari.

Beliau bagaimana pun berkata penurunan tersebut tidaklah begitu ketara dan percaya keadaan akan lebih baik sekiranya kerajaan dapat melakukan tindakan-tindakan lain.

Tegasnya, masih terdapat beberapa peniaga yang dilihat enggan menurunkan menyelaraskan harga mereka sesuai dengan 0% GST.

“Penurunan harga ini berlaku agak serentak di seluruh negara dan perkara ini sebenarnya boleh mendatangkan keraguan kepada pengguna samada ianya betul-betul selaras atau tidak, justeru untuk meyakinkan pengguna dan peniaga, seorang pegawai dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu ditempatkan di setiap pasar basah, kedai borong harian dan sebagainya.

“Ini bagi melatih peniaga untuk memikirkan mengenai keperluan pengguna, berlaku adil kepada semua pengusaha dan pada masa yang sama, menghindarkan dari timbulnya isu-isu mengenai pencatutan harga dan sebagainya,”katanya ketika ditemui Suara Perak di Pasar Besar Ipoh, di sini hari ini.

Azlan, anak jati Ipoh yang bekerja di ibu negara juga berharap agar penurunan harga yang melambangkan kejayaan manifesto kerajaan Pakatan Harapan dapat dikendalikan dengan sebaik mungkin kerana ianya mencerminkan kelancaran pentadbiran mereka.

 

Selain itu, Norhayati Abdullah, 37 merasakan bahawa beban untuk membeli barangan rumah seperti keperluan dapur juga bertambah ringan pada Aidilfitri kali ini semenjak 0% GST dikuatkuasakan.

Pegawai Teknologi Makanan itu juga berkata bahawa beliau berharap akan wujud satu sistem atau panduan untuk menetapkan harga barangan terkawal oleh kerajaan persekutuan dalam usaha menyeragamkan dan menetapkan kadar barangan secara am.

Malah, Norhayati juga mencadangkan bahawa perkara itu bukanlah datang daripada kawalan terhadap peniaga tetapi juga perlu dibantu dengan sokongan pengguna.

“Sebagai pengguna, apa salahnya kita membantu dan menjalankan peranan untuk memberikan aduan kepada pihak berwajib sekiranya kita merasakan harga yang ditawarkan agak keterlaluan dan membebankan kita.

“Saya percaya, sekiranya semua pihak bekerjasama pastinya kita akan dapat meringankan beban semua pihak secara bersama-sama,”katanya lagi.