IPOH – Istiadat Penghormatan Terakhir Almarhumah Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah akan berlangsung pagi ini di Istana Al-Ridhuan, di sini.

Orang ramai yang ingin memberikan penghormatan terakhir kepada baginda boleh berbuat demikian bermula jam 10.30 pagi.

Manakala bagi kenamaan pula, Istiadat Penghormatan Terakhir akan bermula pada 11.30 pagi.

Bagi pakaian berkabung, bagi lelaki Melayu adalah baju Melayu berwarna hitam bersama samping hitam kosong dan songkok hitam dililit reben putih 1 inci.

Manakala bagi lelaki bukan Melayu, pakaian mereka adalah Lounge Suit hitam atau gelap bersama kemeja putih dan tali leher hitam.

Sementara bagi wanita Melayu pula perlu memakai baju kurung serba hitam dan bertudung atau selendang hitam.

Pakaian berkabung bagi wanita bukan Melayu adalah pakaian berwarna hitam yang labuh ke buku lali, bertangan panjang dan bertudung kepala hitam.

 Dalam pada itu anak-anak raja serta waris berpakaian putih.

Raja Nor Mahani mangkat pada jam 5.07 petang semalam.

Pengumuman tersebut diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebentar tadi menerusi satu kenyataan media malam tadi.

Beliau berkata, sebagai tanda bersedih dan dukacita dengan kemangkatan almarhumah, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitah negeri Perak akan berkabung selama sehari pada hari ini dan bendera negeri Perak Darul Ridzuan hendaklah dikibarkan separa tiang sehingga selesai permakaman.

“Saya mewakili seluruh rakyat jelata negeri Perak Darul Ridzuan merafak sembah takziah dan mendoakan semoga roh Almarhumah Tuanku dicucuri rahmat dan ditempatkan oleh Allah subhanahuwataala dalam kalangan para solehah,” katanya.

Jenazah almarhumah akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar hari ini.

-SinarHarian