PARIT BUNTAR – Pengikut jemaah Ahmadiyah diingatkan bahawa mereka masih lagi terikat dengan batasan undang-undang di bawah Perlembagaan Malaysia walaupun mahkamah telah memutuskan untuk menyebelahi mereka.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, taktik kumpulan itu yang menyebarkan ajaran menyerupai agama Islam bukan satu ‘blank cheque’ untuk mereka bebas mempromosi ajaran mereka di negara ini.

Beliau turut menasihati umat Islam supaya berhati-hati dengan menjauhi kumpulan ajaran ini kerana telah difatwakan sebagai bukan Islam.

Dr Mujahid berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan pengikut Ahmadiyah meneruskan aktiviti mereka di Selangor tanpa diganggu pihak berkuasa agama mungkin bersandarkan fakta bahawa pengikut fahaman itu sudah difatwakan sebagai bukan Islam.

“Ahmadiah Qhidainiyah adalah bukan Islam dan ajaran mereka bukan daripada agama Islam. Jadi, oleh kerana mereka bukan beragama Islam, maka sebab itu mereka tidak boleh didakwa oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana mereka bukan Islam dan kerana itu mahkamah menolak saman JAIS ke atas mereka.

“Ini bukan bermakna kita suka begitu. Akan tetapi yang saya ingin mengingatkan kepada rakyat Malaysia, mana-mana ajaran yang menggunakan nama Islam kononnya nampak macam wajah Islam tetapi diharamkan dari sudut ia nya dikatakan bukan Islam maka umat Islam perlu berhati-hati,” kata beliau pada satu sidang media setelah menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Parit Buntar Dan Dun Titi Serong Bersama Pemuda Amanah Negeri Perak di Dataran Kerian Permai di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan Dan Pembangunan Koperasi Negeri Perak YB Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian Dan Perladangan YB Abdul Yunus Jamhari.

Kira-kira 10,000 tetamu dari pelbagai kaum hadir dan lebih dari 20 juadah raya di 10 buah gerai disediakan untuk para pengunjung yang membanjiri dataran tersebut seawal jam 2.30 petang.

Pada Jumaat, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Vazeer Alam Mydin memutuskan pengikut Ahmadiyah boleh meneruskan aktiviti mereka di Selangor tanpa diganggu pihak berkuasa agama, termasuk JAIS.

Mujahid berkata, pihaknya juga mengingatkan rakyat Malaysia supaya berhati-hati dalam mendekati mana-mana ajaran agama yang cuba menyerupai Islam tetapi difatwakan bukan Islam oleh Majlis Agama.

“Tidak timbul isu kerajaan Harapan membiarkan golongan sebegini bebas menyebarkan ajaran agama mereka kerana tindakan mereka cuba mengelirukan termaktub sebagai kesalahan di bawah Artikel 11(4) Perlembagaan Malaysia,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Parit Buntar itu turut menafikan sekeras-kerasnya pihaknya cuba mengiktiraf kewujudan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini dengan mengeluarkan kenyataan tidak akan mengambil tindakan terhadap golongan itu.

Menurutnya, tohmahan dilemparkan kepadanya adalah bersandarkan kepada kenyataan medianya yang diputar belit pengamal media sosial.

“Perbuatan LGBT yang bercanggah dengan agama Islam kita tidak akan dapat terima dan tidak mungkin negara kita akan menerima perkara tersebut.

“Tetapi sebagai rakyat Malaysia, dari sudut hak asasi manusia, hak mereka tidak disakiti dan mendapat keadilan sudah tentu akan dijamin berdasarkan Artikel 8 Perlembagaan Malaysia iaitu setiap warganegara wajib mendapat keadilan tanpa menerima sebarang diskriminasi,” katanya.