LUMUT, 28 DIS : Kadar penginapan di hotel seluruh negara diunjur meningkat sekurang-kurangnya 20 peratus tahun depan apabila Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berakhir hujung tahun ini.

Malah, ketika ini, difahamkan kadar pertumbuhan itu sudah dicapai di beberapa lokasi tumpuan pelancong seperti di daerah Manjung yang memiliki tarikan seperti Pulau Pangkor, selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan awal bulan ini.

Pengarah Kanan Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar berkata, kajian pihaknya di 10 hotel di daerah Manjung semalam mendapati hampir 100 peratus penuh.

Katanya, peningkatan itu antara lain disumbangkan menerusi pertandingan memancing ‘Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2020 Siri 3 yang diadakan di kawasan laut berhadapan Lumut Waterfront dan Hotel Orient Star di sini semalam.

“Seramai 965 peserta dari seluruh negara menyertai acara ini sekali gus menggalakkan pelancongan domestik.

“Ia kerana kehadiran mereka melibatkan penginapan, bilangan pengunjung ke kedai makan bertambah manakala pembelian umpan dan barangan lain meningkatkan ekonomi penduduk tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Penyampaian Hadiah Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2020 – Siri 3 di Lumut Waterfront semalam.

Menurut Ammar, antara usaha bagi meningkatkan semula industri pelancongan domestik yang terjejas akibat Covid-19 ialah menggalakkan lebih banyak pakej menarik termasuk untuk kakitangan perkhidmatan awam.

Katanya, ia bagi membolehkan lebih ramai kakitangan awam yang mungkin kurang terjejas dengan pandemik itu untuk keluar melancong seterusnya membantu pertumbuhan semula industri pelancongan tempatan.

Selain itu, menurutnya, pelbagai aktiviti dan acara dirancang untuk menarik kehadiran pengunjung di lokasi pelancongan yang diklafikasikan sebagai kawasan hijau dan bebas gejala Covid-19.

“Semua hotel dan resort di kawasan terlibat juga disaran melakukan proses nyah kuman bagi meningkatkan keyakinan pelancong untuk menginap di situ.

“Kita bagaimanapun menegaskan prosedur operasi standard (SOP) harus sentiasa dipenuhi, sebagai contoh dalam program memancing ini yang melibatkan jarak kawasan pertandingan 1.8 kilometer, setiap peserta perlu ada jarak sosial 1.5 meter selain sentiasa memakai pelitup muka,” katanya.

Mengenai pertandingan itu, katanya, ia adalah siri ketiga dan terakhir tahun ini selepas kali pertama pada 15 Mac lalu di Port Dickson, Negeri Sembilan dan disusuli di pantai Seri Lalang Laut, Mersing, Johor pada 3 Oktober lalu.

Bagi acara hari ini, hadiah wang tunai keseluruhan RM70, RM500 untuk pemenang tempat pertama hingga ke-80 disediakan selain 50 unit hamper dan 15 unit barangan aktiviti luar Igloo. -UTUSAN ONLINE