IPOH, 13 JAN – Sebuah syarikat bakal dikenakan denda RM50,000 selepas gagal mendapatkan perakuan penginapan daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di bawah Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) dalam satu operasi di Chepor, di sini pada Rabu.

Pengarah JTK Perak, Muhamad Fauzi Abd Ghani berkata, hasil pemeriksaan di beberapa lokasi penginapan pekerja syarikat berkenaan mendapati pihak majikan gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

Menurutnya, keadaan tempat penginapan pekerja tidak kondusif seperti tandas yang kotor serta sistem pengudaraan tidak mengikut peraturan dan berisiko untuk berlaku penularan Covid-19.

“Pihak majikan ini telah menyediakan beberapa lokasi penginapan dan di belakang kilang tadi ada penginapan tetapi memang begitu daif. Kalau kita lihat, pihak majikan tidak mengikut peruntukan Akta 446 dan majikan ini juga dikesan belum mendapatkan perakuan penginapan dari JTK.

“Kalau kita lihat dari segi penjarakkan katil memang tidak ikut peraturan. Majikan juga tidak menyediakan almari berkunci dan kita lihat ruang udara pun tidak kondusif untuk mereka tinggal. Peti kecemasan pun tidak disediakan pihak majikan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi khas ke atas asrama dan penginapan pekerja di sekitar Ipoh pada Rabu.

Muhamad Fauzi berkata, menerusi operasi berkenaan, pihak JTK akan membuka kertas siasatan kerana majikan gagal menyediakan kemudahan yang sepatutnya kepada pekerja.

Menurutnya, majikan terbabit juga tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lain dan kesalahan di bawah Akta 446 merupakan yang pertama dikenakan.

Dalam pada itu, berdasarkan rekod juga, pada tahun lalu JTK Perak telah membuka 10 kertas siasatan terhadap sebuah syarikat sarung tangan getah di bawah Akta 446 yang kini dalam proses untuk pendakwaan.

Katanya, pada tahun ini, pihak JTK tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang gagal mematuhi Akta 446 bagi memastikan kebajikan pekerja asing. – SINAR HARIAN