PADANG RENGAS,3 JAN : UMNO Bahagian Padang Rengas memutuskan untuk menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata pihaknya mahu memperkasakan Muafakat Nasional (MB) yang melibatkan kerjasama dengan Pas sebelum ini.

“Alasannya ialah sebagai sebuah parti politik yang unggul di tanah air, kita akan menghadapi masalah apabila duduk untuk berunding kerusi dengan Bersatu.

“Kerana mereka telah pun mencuri kerusi kita dan saya menyokong di negeri Perak ini kenyataan Menteri Besar Datuk Saarani bahawa kerusi adalah kerusi kita.

“Kerajaan yang ada pada hari ini hanya sekadar sementara menghadapi PRU ke-15 dan kita sebenarnya mahu supaya rakyat diberikan kuasa mereka untuk memilih kerajaan yang mereka kehendaki,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Rengas di Dewan Millenium di sini pada Ahad.

Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata kesemua Ketua Bahagian UMNO juga dijangka akan mengadakan perjumpaan dengan Presiden UMNO pada Rabu ini bagi membincangkan hal berkenaan.

Dakwanya lagi, pengkhianatan demi pengkhianatan yang dilakukan Bersatu sebelum ini khususnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menyukarkan UMNO untuk mempercayai parti tersebut.

“UMNO memang berang dengan “bunga” di Perak. Dia kacau kita punya kampung, Ahli Majlis pun terpaksa bahagi dengan diorang.

“Dia dok curi orang kita, dok bagi duit kepada orang kita betul…its true dua puluh ribu betul untuk nak buka cawangan (Bersatu) di Perak.

“Dia mana ada orang, ada sesetengah orang yang ditawarkan. Tak silap saya ada kenyataan yang dikeluarkan daripada Setiausaha Agung (Bersatu) nak buat 8,000 cawangan…boleh buat free ke? No way..dalam masa singkat nak buat main duitlah tu,”katanya.