IPOH: Golongan lelaki wajar terlibat secara langsung dalam sebarang proses menggubal serta melaksana dasar untuk kaum wanita di negeri ini.

Loh Sze Yee (ADUN Jalong) berkata isu melibatkan kaum wanita seperti cuti bersalin bukan sahaja perlu mendapat maklum balas golongan lelaki malah sesuatu yang harus dibincangkan secara terbuka.

Bercakap kepada Astro Awani, Sze Yee berkata langkah itu membuktikan sokongan kerajaan negeri tidak terhad kepada golongan wanita semata-mata namun perlu penglibatan lelaki bagi memastikan pendekatan kekeluargaan menyeluruh dapat dicapai.

“Kita perlu mengilhamkan inisiatif untuk memberikan sokongan bukan sahaja  kepada wanita tetapi juga mencari pendekatan yang turut memberi manfaat kepada kaum lelaki kerana ia secara tidak langsung akan memberi kebaikan kepada wanita,”ujarnya lagi.

Dalam sesi bahasnya, Sze Yee berkata berdasarkan pengalaman peribadi terdapat beberapa pihak yang enggan membincangkan secara mendalam mengenai isu melibatkan wanita walhal ianya merupakan perkara yang wajar mendapat perhatian utama pada hari ini.

“Bila isu wanita dibangkitkan, lelaki tidak ‘syok’. Contohnya isu wanita adakah kita perlu buat taska sebab ada wanita memerlukannya?

“Kita kena masukkan lelaki dalam isu ini, kerana ianya adalah isu kekeluargaan. Malah, ada sesetengah syarikat tidak suka menggaji wanita sebab wanita akan ambil cuti bersalin, khususnya yang berumur lingkungan 20 sehingga 30an.

Perkara seperti ini perlukan perbincangan bersama,”katanya ketika menyampaikan ucapan bahas di Sidang Dewan Undangan Negeri ke-14 di Bangunan Darul Ridzuan, di sini,hari ini.

Jelasnya, terdapat keperluan untuk melibatkan kaum lelaki dalam pembentukan dasar wanita di negeri ini kerana ianya melambangkan integrasi pembentukan sebuah keluarga yang lengkap.

“Tanpa sokongan seorang lelaki kepada isteri dalam sebuah keluarga, ia tak ke mana dan begitu juga sebaliknya,”ujarnya lagi.

Tegasnya,maklum balas kaum lelaki amat mustahak dalam penggubalan dasar melibatkan kebajikan wanita kerana ianya telah dipandang ringan selama berpuluh tahun sebelum ini.

“Saya yakin, kerajaan Pakatan Harapan memang bersiap sedia, untuk melakukan satu anjakan baru perubahan  bagi hal ini (kelak),”katanya lagi.

Menurut Sze Yee, sebuah komuniti yang konstruktif mempunyai elemen  pemasaran faktor “push and pull” di mana ianya dianggotai oleh kaum lelaki dan wanita.

“Sekiranya kita hanya dapat dua per tiga kaum lelaki, dua per tiga kaum wanita maka secara keseluruhannya kita dapat hanya 66.6 peratus, dan ini bukanlah populasi yang kita inginkan dalam menyumbang kepada negara,”ujarnya lagi.