IPOH– Penguatkuasaan dan kerjasama bersepadu dari pelbagai agensi penting bagi menghindarkan kes keracunan metanol berlarutan dan melibatkan kematian.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata setakat ini sebanyak 95 kes keracunan metanol dicatatkan, dengan 40 daripadanya menyebabkan kematian.

“Jumlah keseluruhan 95 kes, 40 mati dan empat daripadanya dari Perak. Itu yang kita terima notifikasi dari Kementerian Kesihatan.

“Kalau semalam 93 kes, hari ini meningkat dua kes baru, kementerian sedang ambil tindakan jenama metanol yang kita kenal pasti dicemari, premis yang jual juga sudah diambil tindakan,” katannya kepada pemberita di sambutan Hari Farmasi Sedunia 2018 peringkat negeri Perak di Ipoh Parade, di sini, pada Sabtu.

Turut hadir Penaung Jawatankuasa Penganjur, Leong Weng Choy serta sekretariat persatuan Farmasi Malaysia.

Dr Boon Chye berkata, rundingan dan kerjasama bersepadu dengan agensi berkaitan sedang giat dijalankan untuk menangani kes tersebut.

“Kita sedang mengkaji dengan agensi lain seperti PDRM, kastam dan PBT supaya boleh ambil tindakan bersama, kita sentiasa ada rundingan dengan agensi ini.

“Masalah keracunan metanol ini bukan hanya di pihak Kementerian Kesihatan, dari segi penguatkuasaan juga penting,” katanya.

Terdahulu, di dalam ucapannya, beliau menyampaikan maklumat berkaitan sejarah dan perkembangan peranan ahli farmasi.

Hari Farmasi Sedunia mula dicetuskan pada tahun 2011 oleh Pesekutuan Farmaseutikal Antarabangsa, iaitu sebuah badan antarabangsa yang mewakili lebih tiga juta ahli farmasi seluruh dunia.