IPOH: Pengumuman mengenai perubahan kerajaan negeri Perak daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN) mengambil masa kerana ia perlu dilakukan dengan penuh tertib.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, di dalam melakukan sesuatu perubahan atau keputusan besar, ia memerlukan sedikit masa untuk mempertimbangkan segala perkara.

Beliau menjelaskan, sebenarnya daripada awal lagi mereka (PN) telah mengadakan perbincangan di antara kettiga-tiga parti.

“Kita buat satu kesepakatan bahawa perkara ini tidak perlu dibuat secara terburu-buru dan kita juga perlu menantikan perkembangan yang berlaku di peringkat persekutuan,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Ahmad Faizal yakin dengan pengumuman pada hari ini menghilangkan segala keresahan rakyat yang sentiasa ternanti-nantikannya.

Sambil memohon maaf kepada semua pihak sekiranya kelewatan itu menimbulkan keresahan mereka, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua penjawat awam kerana berjaya meneruskan perkhidmatan kepada rakyat.

“Saya amat bersyukur kerana peralihan kuasa berlaku berjalan dengan begitu tenang dan semua pihak dapat menerima perubahan ini dengan fikiran yang terbuka kerana akhirnya bukan kepentingan politik yang kita dahulukan tetapi kepentingan kepada rakyat dan usaha untuk membela nasib rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Perak. Razman Zakaria berkata, pengumuman hari ini sejajar dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah agar proses perubahan berjalan dalam keadaan tenang.

“Apabila kita membuat keputusan, kita memang berada dalam keadaan yang mantap dan boleh membentuk kerajaan, tiada lagi lobi melobi yang boleh menimbulkan keresahan di peringkat bawahan,” katanya.

Pengerusi Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad pula berkata, ‘it’s better late then never’.

Menurutnya, proses perubahan itu berjalan dengan baik dan tertib kerana mereka mahu ia berjalan tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Itulah proses yang kita lalui, negeri Perak ini kita tidak mahu berlaku huru hara, kita tak hendak berlaku kelam kabut, sebab itu ketiga-tiga parti yang telah bersetuju tetapi kita buat keputusan, kita buat secara yang tertib, lebih-lebih ia melibatkan perkenan Sultan Perak,” ujarnya.