IPOH: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan pengundi pos supaya mengikut prosedur yang telah ditetapkan agar undi mereka tidak sia-sia.

Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak, Shazree Idzham Wahab berkata, pihaknya mengesan beberapa kes pengundi pos di negeri ini melakukan kesilapan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

“Terdapat kes pengundi pos yang kurang arif mengenai prosedur, yang memasukkan kertas undi ke dalam peti surat di pejabat pos.

“Bila kita buat post mortem, didapati ada kertas undi tidak sampai, apabila disiasat di pejabat pos, terdapat kertas undi dalam peti surat,” katanya kepada pemberita selepas taklimat SPR kepada pengamal media Perak yang dirasmikan oleh Pengarah SPR negeri, Mohd Nazri Ismail di sini, hari ini.

Kira-kira 50 pengamal media dari pelbagai organisasi media elektronik dan cetak mengambil bahagian di dalam taklimat itu.

Selain taklimat, pihak SPR turut melaksanakan simulasi di pusat mengundi bagi menggambarkan ketelusan proses pilihan raya, bermula dari proses pengundian sehingga ke pengiraan undi.

Menurut Shazree Idzham, pada PRU-14 nanti, pengundi pos perlu memasukkan kertas undi ke dalam sampul surat dan diposkan kepada Pengurus Pilihan Raya di kawasan mengundi masing-masing lebih awal atau menghantar terus ke pejabat pengurus pilihan raya berkenaan.