TANJUNG MALIM: Pengundi tertua di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, M. Renggaiyah, 96, mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Trolak di Trolak Pekan, hari ini.

Dia tiba di pusat mengundi itu kira-kira jam 8.30 pagi menaiki kerusi roda yang ditolak anak angkatnya Mohd Riduan Jalil, 58.

Seperti pengundi lain, bekas home guard itu turut melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) termasuk saringan suhu badan.

“Mesti mahu pergi mengundi, tak boleh miss, apa kerja pun tinggal sini, mengundi dulu lepas itu baru balik sambung kerja,” katanya ketika ditemui selepas ketika meninggalkan pusat mengundi kira-kita jam 9 pagi.

Renggaiyah yang tidak pernah gagal mengundi sejak berpindah ke Trolak 60 tahun lalu, turut menceritakan keterujaan nya untuk keluar mengundi.

Dia bangun seawal jam 5.30 pagi, mandi dan sarapan nasi lemak bersama milo panas, sebelum ke pusat mengundi yang terletak kira-kira 200 meter dari kediamannya.

Sementara itu, tinjauan Astro Awani di pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Trolak mendapati pengundian berjalan lancar.

Selain kemudahan kerusi roda pihak SPR turut menyediakan buggy untuk membawa pengundi uzur dan warga emas.