PENGUNJUNG Esplanade Sipitang di sini, gempar apabila air laut di tepi pantai berdekatan taman awam itu bertukar coklat dan kelihatan garis pemisah dengan air laut yang jernih, sehingga menimbulkan fenomena aneh, hari ini.

Fenomena itu turut dirakam oleh pengunjung hingga ia tular di Facebook dan WhatsApp, sejak pagi tadi.

Menerusi rakaman berdurasi 29 saat itu, air laut di tepi pantai itu bertukar warna apabila bertembung dengan air laut.

Difahamkan, kejadian itu bukan pertama kali berlaku, namun keadaan air itu terlalu hampir dengan pantai membuatkan pengunjung terkejut dengan situasi itu.

Pegawai Daerah Sipitang, Matlin Dullah berkata, kejadian itu berpunca daripada air sungai dicemari lumpur yang mengalir ke laut menampakkan fenomena aneh apabila bertembung dengan air laut.

“Di daerah ini, ada tiga sungai utama, antaranya Sungai Mengalong dan kemungkinan ia berpunca dari situ,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kejadian seumpama itu pernah berlaku di kawasan berkenaan dan ia perkara biasa.

“Kejadian seperti ini pernah beberapa kali berlaku, namun keadaannya tidak begitu jelas kerana ia berlaku di tengah laut.

“Tetapi hari ini, keadaan agak luar biasa apabila ia berlaku berdekatan dengan pantai sehingga kelihatan jelas air lumpur itu,” katanya.

Bagaimanapun Matlin meminta orang ramai supaya tidak bimbang dan panik kerana ia fenomena biasa dan tidak berbahaya – berita harian