SHAH ALAM: Seorang pengurus syarikat binaan berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh teman wanitanya, 10 Mac lalu.

Tertuduh, Sobri Abdul Wahab, 40, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rini Triany Muhamad Ali, namun tiada pengakuan direkodkan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh seorang perempuan warga Indonesia, Gusnima, 38, di sebuah apartmen di Seksyen U8, Bukit Jelutong, Shah Alam.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara jam 6 petang hingga 8 malam, pada 10 Mac lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mandatori gantung sampai mati.

Tertuduh yang diwakili peguam Khairul Naim Rafidi memohon mahkamah untuk menghantar tertuduh ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi tujuan pemeriksaan dan rawatan psikiatri kerana kurang siuman.

Katanya, tertuduh sebelum ini pernah menjalani rawatan psikiatri di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan kali terakhir pada 2016, sebelum berubat secara tradisional.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan berkenaan dengan tertuduh menjalani rawatan di hospital berkenaan selama sebulan mengikut Seksyen 342(1) Kanun Prosedur Jenayah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muad Ahmad Khairuddin dan kes disebut semula pada 12 April ini.

Sebelum ini, media melaporkan Gusnima ditemui mati dibunuh dengan 28 tikaman selepas dipercayai terlalu mendesak kekasihnya untuk berkahwin dengannya – berita harian