IPOH, 12 JAN: Pihak pengurusan Malaysia Dhamma Sakyakumi Caves Monastery berharap kawasan gua di Gunung Kanthan, Chemor diiktiraf sebagai tempat ibadat bagi penganut Buddha.

Wakilnya, Dr. Chiong Sai Tin berkata, pihaknya telah menghantar permohonan kepada kerajaan negeri dan berharap ia akan di pertimbangkan.

Katanya, kawasan gua tersebut wujud lebih 100 tahun lalu dan menjadi tempat bermeditasi bagi ribuan penganut Buddha.

“Di dalam gua ini terdapat kuil yang menjadi tempat tinggal kepada 15 orang sami.

“Ini merupakan kali kedua kami memohon kepada kerajaan negeri selepas permohonan pertama pada tahun 2014,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional Perak, Mohd Ravi Abdullah berkata, beliau akan bertemu dengan Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad pada minggu ini bagi membincangkan isu tersebut.