PARIT 23 Feb. – Pengusaha stesen minyak di negara ini digesa bertindak menegur pengguna yang melakukan kesalahan ketika berada di premis mereka bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Muez Abd. Aziz berkata, setakat ini pihaknya belum berpuas hati dengan tahap kesedaran orang ramai berhubung aspek keselamatan ketika berada di stesen minyak, meskipun jumlah insiden tidak diingini berkurangan.

“Antara yang masih berlaku ialah merokok, menggunakan telefon bimbit dan enggan mematikan enjin kenderaan ketika berada di premis pam minyak yang boleh membahayakan nyawa mereka dan orang lain,” katanya ketika berucap pada pelancaran Kempen Keselamatan Petroleum Peringkat Negeri Perak di sebuah stesen minyak di sini hari ini.

Muez berkata, pihaknya akan meneruskan kempen kesedaran tersebut yang dimulakan pada 2010 bagi memastikan pengguna dan juga pengusaha tidak mengambil mudah aspek keselamatan di stesen minyak.

Pada masa sama, beliau turut meminta pengusaha stesen minyak mempelbagaikan perkhidmatan dan berperanan seperti pusat sehenti.

“Mereka (pengusaha stesen minyak) boleh memasarkan dan memberi ruang kepada pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) untuk memasarkan produk mereka,” katanya.- BERNAMA