Ampang: Pengusaha taska didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan membuka premis di Pandan Perdana yang tidak berdaftar sejak 2002.

Bagaimanapun, Hayati Mat Hussin, 49, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Mohamad Izwan Mohamed Nor.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa mengusahakan Taska Umi Hayati yang tidak didaftarkan mengikut Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 di Surau Al-Mutmainnah di Jalan Perdana 8/1 Pandan Perdana, di sini, pada 11.30 pagi, 5 Oktober tahun lalu.

Pendakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 6(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kali kedua boleh dikenakan penjara maksimum lima tahun atau denda yang boleh sampai RM20,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) cawangan Selangor, Nur Hazlina Jamaludin manakala OKS tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 April ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

-myMetro