IPOH – Sering berhadapan dengan kejadian pecah masuk dan kecurian, lebih 30 pengusaha premis perniagaan di Bandar Meru Raya di sini bergabung tenaga untuk mencari jalan penyelesaian bagi membanteras kegiatan jenayah di kawasan yang kini merupakan lokasi tumpuan terbaru warga Ipoh.

Menurut Pengerusi Gabungan Peniaga Bandar Meru Raya, Khairul Adnan Hamid, peniaga mendapati satu tindakan segera perlu dilakukan berikutan insiden pecah masuk dan kecurian yang semakin meruncing di kawasan mereka mencari rezeki.

Katanya kejadian itu agak serius dengan kekerapan pecah masuk dan kecurian dilaporkan berlaku selang sehari menyebabkan peniaga berasa tidak selamat selain terpaksa menanggung kerugian.

“Boleh kata kekerapan kecurian berlaku selang sehari melibatkan pecah masuk kedai dengan kehilangan peralatan sehingglah kepada cermin. Minggu ini saja ada kes pecah masuk di farmasi, kedai tudung serta kecurian enam tong gas.

Kami anggap ini agak luar biasa seolah-olah mereka bergerak berkumpulan. Kami rasa tak selamat nak tinggalkan kedai walaupun di waktu siang atau dengan lampu terpasang,”katanya kepada pemberita.

Beliau temui selepas program Sembang Santai Gabungan Peniaga Bandar Meru Raya yang disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin dan Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Mustafar Rashdi.

Turut sama, wakil dari Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Shamsul Azmir Ahmad Nawawi dan Ketua Polis Balai Jepapang, Inspektor Rashidi Othman.

Sesi sembang santai yang berlangsung lebih dua jam itu merupakan  inisiatif peniaga dalam usaha mendapatkan kerjasama pihak berwajib untuk memastikan Bandar Meru Raya menjadi kawasan tumpuan tanpa jenayah.

Khairul Adnan berkata walaupun ada peniaga yang mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memasang lampu di setiap sudut bangunan kedai, namun penjenayah seakan-akan tahu di mana dan bila masa sesuai untuk bertindak.

Pada sesi itu juga, peniaga turut meminta MBI meningkatkan tahap kerbersihan dengan menambah bilangan tong sampah supaya insiden pembuangan sampah haram dapat ditanggani.

Mereka juga meminta MBI mempertimbangkan cadangan menangguhkan perlaksanaan kutipan parkir kepada suatu tempoh yang lebih sesuai atas faktor kerancakkan aktiviti perniagaan di kawasan itu masih agak perlahan.

Sementara itu, Mohamad Ziad ketika mengulas berkata langkah-langkah keselamatan seperti pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) sudah dilakukan namun ia banyak tertumpu di kawasan Bulatan Amanjaya.

Katanya beliau akan memastikan kemudahan CCTV di kawasan itu  diperbanyakkan lagi selain meminta MBI nengambil langkah memasang lampu jalan di lorong gelap dan sunyi.

“Masalah yang sama telah pun saya bangkitkan dalam sidang DUN termasuk isu pencahayaan, keselamatan, jalan dan pengurusan sisa pepejal.

“Menerusi perbincangan hari ini, kita dapat memberi penjelasan terhadap beberapa isu yang diutarakan para peniaga dan merangka kertas cadangan ke arah penambahbaikan di sini.

“Saya mohon pada pihak PKNP agar mempercepatkan proses penyerahan kepada MBI kerana kerja-kerja penyelengaraan jalan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan beberapa isu seperti sampah dan letak kereta berbayar dapat diselesaikan segera,” katanya.