BALING: Pemilik gerai jualan laksa kebok, Daud Ismail, 51, akan terus memberi kerjasama kepada semua pihak dan berharap mendapat keputusan yang adil bagi meneruskan perniagaan itu yang menjadi punca mata pencariannya.

Daud berkata, setiap kali pegawai pejabat kesihatan membuat pemeriksaan dan siasatan dia memberi kerjasama yang baik.

“Saya memberi kerjasama yang baik dan bersikap terbuka supaya pihak berkenaan membuat pemeriksaan ke semua tempat termasuk kawasan dapur dan tempat membuat laksa serta memasak kuah.

“Saya memberi ruang sepenuh kepada mereka membuat pemeriksaan kerana saya sudah lama menjalankan perniagaan itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Menurutnya, sejak kejadian itu tular di media sosial dia juga tidak diugut mana-mana pihak sebaliknya ramai kawan dan pelanggan memberi semangat serta sokongan.

“Perniagaan ini sudah lama saya usahakan dan akan terus berniaga selepas mendapat kebenaran daripada pejabat kesihatan.

“Pejabat kesihatan sudah menampal notis supaya menutup premis sehingga siasatan selesai sementara menunggu sampel pemakanan daripada jabatan kimia.

“Saya menunggu dengan sabar dan berharap keputusan yang adil kerana itu rezeki saya mencari nafkah hidup dengan berniaga laksa,” katanya.

Sementara itu, pelanggannya, Haslina Abd Wahab, 34, dari Kampung Pokok Sena, Pulai berkata, dia selalu makan laksa kebok yang dijual di Kampung Landak, Kupang.

Menurutnya, jika pada bulan puasa, dia akan kerap membeli laksa di situ dan terkejut apabila terbaca mengenai keracunan makanan selepas makan laksa kebok.

“Sepanjang saya makan laksa itu tidak ada kesan sampingan kerana perniagaannya menyediakan dengan bersih.

“Selepas tular kejadian itu, perniagaannya turut terkesan dan terserah kepada pihak bertanggung jawab membuat siasatan,” katanya.

Haslina berkata, dia akan terus membeli laksa kebok apabila pejabat kesihatan membuat keputusan bebas daripada keracunan kerana laksa itu sangat sedap yang diproses sendiri oleh peniaganya – berita harian