KUALA KUBU BHARU – Seorang peniaga tayar dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu pagi ini atas kesalahan membawa kenderaan dalam keadaan mabuk di Tapak Pasar Ramadan, pekan Bukit Sentosa pada 22 Mei lalu.

Tertuduh Kang Ming Han, 32, yang berpakaian kemeja T hitam dan berseluar jeans biru tenang mendengar dakwaan Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagaimanapun Ming Han mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut dan memohon dibicarakan setelah pertuduhannya dibacakan di hadapan Hakim Sesyen Nurul Mardhiah Mohammed Redza oleh jurubahasa.

Mengikut kertas pertuduhan Ming Han didakwa sebagai pemandu Motokar SUV memandu kenderaan jenis Toyota Hilux di atas jalanraya di bawah pengaruh minuman yang memabukkan menyebabkan tidak dapat mengawal kenderaan sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya iaitu melanggar kenderaan SUV Ford dan mencederakan pemandu Farina Hazlin Shaiful Azmi, 28 dan penumpangnya Yusanisah Mohamed Jais 42.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira pada pukul 8.20 malam 22 Mei lalu di Jalan Cempaka, Pekan Bukit Sentosa di hadapan Balai Bomba Bukit Sentosa.

Jika disabitkan kesalahan Ming Han boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan didenda maksimum RM20,000.

Timbalan Pendakwa Raya kes, Ahmad Zuhaini Mohamad Amin mencadangkan Majistret mengenakan ikat jamin sebanyak RM8,000.

Bagaimanapun peguambela tertuduh, Muhammad Adhwa Azfar merayu supaya ikat jamin yang lebih rendah dan munasabah dikenakan oleh mahkamah terhadap tertuduh

“Yang Arif tertuduh sebelum ini sudah dituduh di mahkamah sama dan dikenakan wang ikat jaminan RM20,000 dalam dua pertuduhan berbeza kes yang sama.

“Itu sudah cukup untuk memastikan tertuduh dapat hadir ke mahkamah hari ini untuk hadapi pertuduhan ketiga kes sama, maka saya mohon kebijaksanaan Yang Arif menentukan satu wang jaminan yang munasabah dan rendah,” katanya.

Setelah mendengar hujah, Nurul Mardhiah menetapkan ikat jamin seb anyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Pada 29 Mei lalu, di mahkamah sama, tertuduh menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis.

Ming Han didakwa berkelakuan tidak senonoh apabila mengeluarkan kata-kata kesat kepada seorang anggota polis, Shahidan Abdul Khalil di Balai Polis Bukit Sentosa Hulu Selangor mengikut Seksyen 90 Akta Polis dan boleh dihukum di bawah peruntukan seksyen yang sama.

Manakala dalam pertuduhan kedua mengikut 307 Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan cubaan membunuh terhadap Norisham Abdul Rashid, 42, Mahadin Senan 41, dan Baharum Ab Manaf, 61, dengan cara melanggar mangsa menggunakan kenderaan Toyota Hilux menyebabkan kecederaan di Tapak Pasar Ramadan di Pekan Bukit Sentosa, Hulu Selangor kira-kira pada pukul 6.35 petang 22 Mei lalu.

Nurul Mardhiah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Julai ini sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan kes.