IPOH: Penjaja di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz (Padang Polo) di sini, merayu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) supaya memutuskan pelbagai isu khususnya yang membabitkan perniagaan tanpa lesen yang membelenggui mereka sejak sekian lama.

Wakil mereka, Arbaei Abdul Ghani berkata, sehingga kini, lebih 20 orang peniaga kecil di situ menjalankan perniagaan tanpa lesen dan seringkali berhadapan dengan pelbagai masalah.

“Kami sedar peniaga-peniaga di sini tiada lesen dan sentiasa dipantau oleh MBI. Kami sudah berniaga di sini bertahun-tahun lamanya walaupun kami sedar ada risiko.


“Akan tetapi lokasi yang tidak dibenarkan berniaga inilah yang menjadi tumpuan ramai pengunjung dan menjadi lokasi kami mencari rezeki,” katanya kepada Suara Perak di sini, hari ini.

Menurut Arbaei, pihaknya sudah mengadakan perjumpaan dengan Datuk Bandar Ipoh bagi membincangkan jalan penyelesaian isu berkenaan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada MBI kerana mengambil berat masalah kami.

“Dalam mesyuarat itu, Datuk Bandar menekankan tentang kebersihan dan lalu lintas yang menjadi isu utama kepada pengunjung.

“Kami dari persatuan peniaga tidak berlesen akan mengambil inisiatif sendiri dengan membayar RELA untuk mengawal lalu lintas.

“Bagi isu kebersihan pula, kami menggalakkan peniaga-peniaga bergotong-royong,” katanya.

Justeru, Arbaei berkata, susulan pelan tindakan yang sedang dirangka MBI, pihaknya memohon agar mereka diberi peluang sewajarnya untuk mencari rezeki dalam keadaan sukar akibat penularan Covid-19 ketika ini.

Beliau berkata, para peniaga di situ tidak mempunyai lesen kerana berniaga di  kawasan yang tidak diwartakan.
“Jadi kami berharap MBI dapat memberi lesen sementara untuk membolehkan kami berniaga sebelum berpindah ke lokasi bersesuaian yang dicadangkan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis, Dr Richard Ng berkata, masalah utama yang sering dibangkitkan ialah kesesakan lalu lintas dan kebersihan di kawasan itu.

“Padang Polo dikunjungi oleh lebih 5,000 orang pengunjung setiap hari dan sudah tentu ia menjadi tarikan kepada penjaja untuk berniaga di sini.

“Namun, MBI sering menerima aduan mengenai sampah sarap yang dibiarkan dan kesesakan lalu lintas, oleh kerana itu kawasan ini tidak pernah digazetkan sebagai kawasan penjaja.

“Bagaimanapun, ramai yang terkesan dengan penularan Covid-19, maka dalam mesyuarat majlis sering saya bangkitkan isu ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap MBI akan menyediakan tapak niaga kekal yang mudah dikunjungi pelanggan.


Katanya, MBI juga dalam proses mengeluarkan lesen sementara kepada peniaga itu sebelum mereka berpindah ke lokasi tapak niaga kekal.

Dr. Richard berkata, Padang Polo mempunyai potensi pelancongan sama seperti Gurney Drive di Pulau Pinang yang menjadi tumpuan pengunjung kerana gerai makan tepi jalannya.