KUALA LUMPUR : Isu tapak Uptown Danau Kota yang diarah tutup pihak berkuasa semakin memuncak apabila lebih 200 peniaga masing-masing membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Wangsa Maju, Tan Yee Kew, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Hisham Ahmad Dahlan dan Pengerusi Penjaja Bazaria Wangsa Maju, Ibrahim Merican.

Peniaga-peniaga berkenaan yang mendakwa berlaku salah guna kuasa dalam pemberian tapak niaga baru di Bazaria Wangsa Maju oleh pihak-pihak yang dinamakan, membuat laporan tersebut di Balai Polis Setapak dengan dibantu Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas).

“Laporan dibuat kerana peniaga dihalang buka kedai di tapak lama, mereka mengalami kerugian dan turut mendakwa berlakunya salah guna kuasa dalam pemberian lot-lot tapak baru kepada peniaga yang bukan dari tapak asal, tindakan mereka tidak telus.

“Jumlah peniaga yang akan buat laporan polis seramai 260 orang dan setakat petang tadi (semalam) sudah 130 orang membuat laporan polis, selebihnya akan buat malam ini. Mereka yang menjadi mangsa dan dinafikan hak ini ada lesen dan sudah berniaga sejak 14 tahun, 13 tahun, 7 tahun dan sebagainya,” kata Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah.

Menurut Ridzuan, kumpulan peniaga itu terpaksa membuka kedai di tapak lama kerana tapak baru sudah penuh namun mereka dihalang dan dikenakan denda.

Beliau berkata, Bazaria Wangsa Maju yang dibina dengan kos lebih RM2 juta sangat meragukan dan pihaknya bercadang untuk membawa isu tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

“Kita lihat isu ini ada agenda tersembunyi, kita minta menteri wilayah kaji semula tentang tapak baru, sebelum ini kata ada kroni Umno dan sebagainya tapi sekarang bila kroni Umno sudah tidak ada, keadaan makin teruk,” katanya.

Ridzuan menafikan dakwaan peserta yang membuat bantahan berhubung pemindahan tapak niaga pada Khamis lalu didalangi oleh pihak luar mahupun gangster.

“Yang Berhormat beritahu mereka yang buat protes 2 Januari lalu adalah orang luar, jadi ini (laporan polis) adalah bukti mereka adalah peniaga Uptown Danau Kota.

“Ikhlas mendesak peniaga ini dibenarkan berniaga di tapak lama kerana tapak baru dah penuh macam tapak warga asing,” katanya sambil mendakwa tapak baru diberikan kepada pihak luar atas dasar kroni.

Sementara itu seorang peniaga, Helmi Jaafar, 47, berkata dia tertekan kerana hilang mata pencarian selepas penutupan Uptown Danau Kota sejak seminggu lalu.

“Kami orang berniaga bukan makan gaji, duit berniaga itulah yang digunakan sara keluarga. Kami dihalang berniaga mencari rezeki halal, di mana keadilannya?

“Dah seminggu tak berniaga sampaikan semalam ke pajak gadai emas kerana terdesak perlukan duit bayar yuran sekolah anak, saya berniaga sejak 2006 ketika tapak lama mula-mula dibuka iaitu sejak 14 tahun lalu,” katanya.

Katanya, dia membuat rayuan selepas namanya tercicir semasa bancian namun sehingga kini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) belum memberi jawapan.

“Biasalah orang kerajaan ini, kami dilayan macam bola, ditendang sana ditendang sini, kepada siapa kita nak mengharap, saya harap perdana menteri sendiri campur tangan orang-orang kecil macam kami, penjaja kaki 5 ini ibarat anak yatim tak tahu nak mengadu dekat siapa, sekurang-kurangnya presiden Ikhlas dapat bantu kami,” katanya.

Helmi berkata, DBKL sebelum ini datang membuat bancian lebih daripada 3 kali, bagaimanapun Tan memaklumkan bancian dibuat DBKL tidak sah.

“Jadi YB Tan cakap lantik pihak ke-3, saya tidak tahu siapa, saya dengar cerita Invoke yang buat bancian, kata daripada wakil kerajaan, kita tulis nama, bila DBKL keluar senarai, nama kami hilang, masa bancian dibuat sebelum ini mungkin silap kami juga tidak ambil gambar, tapi mereka kata daripada wakil kerajaan kita ikut sahaja apa yang mereka suruh,” katanya sambil mendakwa mereka yang diberi tapak di kawasan baru terdiri daripada orang baru berniaga.

Kira-kira 70 orang menyatakan bantahan pada 2 Januari lalu, dengan mendakwa Tan menyalahgunakan kuasa dengan membawa 30 peniaga Cina yang bukan peniaga asal ke tapak baru, sedangkan 300 peniaga daripada jumlah 800 peniaga asal keciciran nama.

Sebagai respons kepada bantahan itu, Tan mendakwa mereka yang terlibat ialah sindiket dan kroni yang hilang pendapatan daripada kutipan penjaja.

Katanya, terdapat 3 hingga 4 “kumpulan gangster” yang mengutip antara RM500 hingga RM1,000 daripada peniaga di Uptown Danau Kota sepanjang 12 tahun lepas.

Tan menegaskan peniaga yang dipindahkan ke tapak baru dipilih secara telus melalui 3 kali bancian dalam tempoh 4 bulan dibuat oleh badan bebas dilantik.