KUALA LUMPUR,29 DIS : Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Koreksional Kamunting (KEMTA) di Taiping, Perak dan kuarters bermula Rabu, 30 Disember hingga 12 Januari depan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut adalah berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendapati berlakunya peningkatan kes positif COVID-19 di pusat tersebut.

“Sehingga 24 Disember, KKM telah melaksanakan sebanyak 1,490 saringan terhadap tahanan dan daripada jumlah itu, 50 didapati positif COVID-19.

“Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Pusat Koreksional Kamunting (KEMTA) beserta kuarters bermula 30 Disember 2020 sehingga 12 Januari 2021,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Ismail Sabri berkata pelaksanaan PKPD tersebut bertujuan untuk mengawal kluster sedia ada dan menghalang penularan kepada banduan lain, kakitangan, ahli keluarga serta komuniti di luar KEMTA.

Dalam perkembangan berhubung operasi pematuhan PKPP, beliau berkata PDRM telah menahan 142 individu pada Isnin atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kesemua individu dikenakan kompaun dan antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (78), tidak memakai pelitup muka (53), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (sembilan) dan lain-lain (dua),” katanya.

Menerusi Operasi Benteng yang dijalankan pula, beliau berkata 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas tiga kenderaan darat.

Katanya, anggota penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di sembilan tapak binaan di seluruh Malaysia pada Isnin dan kesemuanya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. – AWANI