IPOH: Kes penipuan jenayah komersial di Perak merekodkan kerugian berjumlah RM23.3 juta sepanjang tempoh tujuh bulan pertama tahun ini melibatkan sebanyak 1,131 kes.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Goh Boon Keng berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 13 kes berbanding tempoh sama tahun lepas dan antaranya membabitkan penipuan dalam talian, pinjaman tidak wujud serta ‘Love Scam’ atau penyelewengan urusan jual beli.

Beliau berkata kes jenayah komersial meningkat berkemungkinan disebabkan orang ramai berada di rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada 18 Mac lepas dan mendorong mereka menggunakan media sosial untuk pelbagai urusan.

“Ini menyebabkan margin peningkatan kes jenayah komersial mencatatkan peningkatan berbanding lain-lain kes jenayah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Terdahulu, Goh dalam ucapannya berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri turut mempergiat usaha membanters penyalahgunaan dadah walaupun negara masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, antara operasi yang dijalankan adalah ‘Ops Sarang Khas Selama’ pada Jun dan Julai lepas dengan kejayaan tangkapan 94 orang serta ‘Ops Sarang Khas Mega’ pada 6 Julai yang membawa kepada penangkapan sebanyak 211 orang atas pelbagai kesalahan.

“Bagi mencapai matlamat mengurangkan permintaan dan bekalan dadah, JSJN negeri akan terus meningkatkan operasi di seluruh negeri melalui operasi bersepadu membabitkan semua jabatan di kontinjen dan daerah pada setiap bulan,” katanya. – BERNAMA