IPOH: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan menerima suapan RM8,000 daripada seorang peniaga, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Shaikhul Athar Abdullah, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Bagi pertuduhan pertama, Pembantu Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu didakwa secara rasuah menerima suapan wang tunai RM8,000 daripada seorang peniaga di parkir sebuah restoran di Ipoh, jam 10.30 malam, 30 Mei 2017.

Dia turut didakwa bersetuju untuk menerima suapan RM8,000 daripada ahli perniagaan yang sama di Greentown, Ipoh, jam 8.53 malam, 23 Mei 2017.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu sebagai upah bagi menutup kes ahli perniagaan berkenaan yang disiasat KPDNKK pada 2014 bagi kesalahan menjual arak tiruan di dua premis miliknya di Ipoh.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di bawah Seksyen 16 (a)(B) dan Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin di samping melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM berdekatan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 4 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Amirul Ridzuan Hanif.