ALOR SETAR: Kerajaan Kedah hari ini mengumumkan bantuan khas kewangan RM1,000 kepada penjawat awam negeri ini serta sumbangan ‘one-off’ RM200 kepada petugas barisan hadapan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, berkata bantuan kewangan untuk semua penjawat awam dan anggota pentadbiran negeri membabitkan peruntukan berjumlah RM5.6 juta itu akan dibayar bulan depan.

“Bayaran untuk petugas barisan hadapan JKN Kedah adalah bagi menghargai pengorbanan serta kerja keras mereka, dan ia akan dikreditkan ke akaun penerima akhir tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sangat menghargai semua kakitangan awam di negeri ini yang sentiasa komited dalam melaksanakan semua dasar dan arahan seperti menguruskan Pusat Kawalan Operasi Bencana ketika pandemik COVID-19, penyaluran bantuan kepada mereka yang memerlukan dan melaksanakan projek-projek pembangunan yang dirancang sepanjang tahun 2020.

Katanya, kerajaan negeri juga sentiasa mengalu-alukan rakyat negeri ini daripada pelbagai kepakaran untuk turut menyumbang buah fikiran dan pandangan demi kemajuan dan kesejahteraan negeri. – BERNAMA