KUALA KANGSAR: Seorang penoreh getah warga Indonesia dikhuatiri lemas terjatuh ke dalam Sungai Perak berhampiran Kampung Padang Changkat, di sini pada lewat petang Ahad.


Mangsa dikenali sebagai Husen, 44, yang bekerja sebagai penoreh getah dipercayai menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dan disyaki terjatuh ke dalam sungai.


Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Zahiri Hassan, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 6 petang.


“Kami terima makluman dari orang awam mengenai sebuah motosikal ditinggalkan di tepi sungai Kampung Padang Changkat berdekatan surau.


“Selipar dan barang-barang peribadi serta kunci motosikal masih ada di motosikal itu, disyaki penunggang motosikal terjatuh ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan pada lewat malam Ahad.


Sementara itu, katanya majikan mangsa turut mengesahkan motosikal itu digunakan oleh mangsa dan mendakwa pekerjanya mengalami masalah depresi (tekanan) sebelum ini.


“Majikan berumur 66 tahun itu memberitahu mangsa mengalami depresi dan sering berkata hendak pulang ke kampung halamannya di Lombok,Indonesia.


“Majikannya telah pergi ke lokasi tersebut (sungai) dan mengesahkan motosikal dan peribadi semuanya milik mangsa termasuk selipar yang ditinggalkan di tepi sungai,” ujarnya.


Zahiri menambah, pihaknya telah mengaktifkan Pusat Kawalan Tempat Kejadian yang turut dianggotai pihak Bomba dan APMM.


Katanya, usaha mencari dan mengesan mangsa ditangguhkan memandangkan keadaan telah gelap, ianya akan disambung semula pada pukul 9 pagi (Isnin).