KUALA LUMPUT: Seorang pelajar perempuan di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Terengganu membuat laporan polis mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang pensyarah lelaki.

Gangguan tersebut dikatakan terjadi di bilik pensyarah tersebut pada 23 Jun lalu.

Berdasarkan laporan polis, pada hari kejadian, mangsa mendakwa diminta ke bilik pensyarah tersebut pada kira-kira jam 9 pagi sebelum pintu bilik dikunci dari dalam dan mangsa diajak berborak.

Pensyarah terbabit kemudian menawarkan untuk menjadi sugardady kepada mangsa dengan bayaran RM500 sebulan untuk khidmat seks atau “aktiviti-aktiviti lain” seperti memegang payu dara mangsa.

Mangsa mendakwa memberikan pelbagai alasan untuk keluar daripada bilik pensyarah tersebut namun tidak diizinkan, dan hanya dibenarkan pergi setelah berjanji untuk berjumpa semula pada keesokan harinya.

“Beliau mengizinkan saya keluar bilik dan mengajak saya bergambar, tiba-tiba beliau memegang bahu saya dan menarik saya ke badannya lalu cuba untuk mencium bibir saya.

“Tetapi saya menepis dan menolak beliau. Saya terus keluar bilik beliau,” katanya seperti dipetik laporannya.

Kata mangsa lagi, apabila diminta hadir sekali lagi ke bilik pensyarah tersebut pada keesokan harinya, pensyarah tersebut masih membangkitkan tentang tawarannya.

Justeru, pada petang 24 Jun, mangsa yang baru berusia 19 tahun itu membuat satu laporan polis kerana berasa terganggu dan bimbang perkara sama berlaku ke atas pelajar lain.

“Saya berharap mana-mana pihak atasan boleh mengambil tindakan sewajarnya ke atas (pensyarah berkenaan) yang menyebabkan saya berasa trauma dengan keadaan sekarang di mana saya masih lagi belajar di kolej tersebut,” katanya lanjut.

Sementara itu, pihak polis mengesahkan menerima laporan mengenai kes gangguan seksual itu di IPT tersebut.

“Ada ada ada (menerima laporan),” jawab ketua polis daerah berkenaan ketika dihubungi

Katanya, kakitangan tersebut telah ditahan pada 24 Jun namun dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kertas siasatan (IP) dah buka, tunggu siasatan. Selepas siap kita siasat, kita akan hantar IP ke timbalan pendakwa raya (DPP).

“Tengoklah apa arahan daripada DPP,” katanya lagi.

-MalaysiaKini