KUALA KANGSAR – Jabatan Perikanan Perak meminta penternak dan pengusaha ikan pelaga spesies Betta supaya menghasilkan varieti bermutu tinggi memandangkan ia mempunyai permintaan memberangsangkan termasuk di peringkat antarabangsa.

Pengarahnya Zaki Mokri berkata ikan tersebut merupakan antara ikan hiasan yang mendapat permintaan tinggi khususnya dari negara seperti Singapura, Thailand, Vietnam, Indonesia, China dan Taiwan.

“Kami sedia membantu dengan mengadakan latihan kepada penternak terbabit untuk menghasilkan ikan Betta yang berkualiti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penutup program 4th Perak Betta Splendens Open 2018 di Pusat Ikan Hiasan Enggor, dekat sini semalam.

Zaki berkata pada 2016, negara mengeksport 50 juta ikan hiasan bernilai RM57 juta, membuktikan produk Malaysia mempunyai standard yang tinggi selepas Thailand dan Indonesia.

“Kita juga memenangi banyak pertandingan dan ini membuktikan kualiti ikan hiasan termasuk ikan Betta kita baik,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya Zaki berkata, penternakan ikan Betta berpotensi berkembang kerana tidak banyak negara di dunia yang mempunyai keupayaan menjadi pembekal ikan tersebut.

Mengulas mengenai pertandingan hari ini, beliau berkata ia berupaya mencipta peluang baharu dalam industri seperti pelancongan dengan menarik peserta dari dalam dan luar negara.

Sebanyak 544 ikan hiasan menyertai pertandingan kali ini berbanding 350 ekor pada tahun lalu. – Bernama